KPN harap Jho Low dijangkiti coronovirus supaya balik Malaysia

KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, beliau berharap ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dijangkiti novel coronovirus (COVID-19) supaya dapat dibawa pulang ke Malaysia.

Beliau berkata, terdapat maklumat risikan sebelum ini yang mendedahkan bahawa ahli perniagaan itu kini berada di Wuhan, China – bandar yang menjadi punca jangkitan penyakit tersebut.

“Sebelum ini sumber risikan mendapati dia (Jho Low) memang aktif di Wuhan. Saya sudah minta pihak Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perhatikan sekiranya dia ‘balik’ dengan (susulan penularan) COVID-19.

“Harap-harap dia salah salah seorang yang jadi mangsa COVID-19, saya nak beritahu dia kalau dia mengidap penyakit itu, balik Malaysia kerana setakat ini Kementerian Kesihatan Malaysia adalah yang terbaik,” katanya.

Beliau sebelum itu hadir pada pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Penggantian Lif di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, nama Jho Low sudah disenarai sebagai individu dikehendaki kategori red notice (notis merah) oleh agensi Polis Antarabangsa (INTERPOL), kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau bagaimanapun berkata, notis merah yang menyenaraikan nama Jho Low tidak masuk dalam kategori yang boleh dikongsi dengan umum menerusi laman sesawang INTERPOL.

“Red notice ada dua kategori dalam INTERPOL, iaitu satu yang boleh dikongsi dengan public (awam) dan satu lagi hanya dihadkan kepada agensi penguat kuasa sahaja.

“Dia memang tersenarai… ada pihak yang mengatakan tiada red notice itu, saya minta mereka jumpa saya, katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya lagi, buat masa ini tiada sumber risikan mendapati Jho Low sudah meninggalkan Wuhan atau China.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini dilaporkan sudah menghubungi INTERPOL untuk mengeluarkan Notis Merah terhadap Jho Low yang dikehendaki berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Notis merah dikeluarkan apabila seseorang individu dikehendaki sesebuah negara untuk pendakwaan atau untuk menjalani hukuman berdasarkan waran tangkap atau keputusan mahkamah.

Pada 24 Ogos 2018, Mahkamah Sesyen Putrajaya mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low dan bapanya, Tan Sri (Harry) Low Hock Peng, sekali gus membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon kerjasama INTERPOL untuk mengeluarkan notis merah bagi mengesan serta menahan dua beranak itu pada 24 Ogos lalu.

Jho Low dan bapanya dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments