JPM sahkan perjumpaan dengan Guan Eng, tapi nafi bincang Tabung Haji

PEJABAT Menteri di Jabatan Perdana Menteri menafikan penularan gambar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang dikatakan sedang mempengerusikan mesyuarat berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).

Dalam satu kenyataan, JPM berkata tuduhan yang dibuat itu sangat tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan disengajakan bagi tujuan sempit serta menyebarkan kebencian kaum dan agama di negara ini.

Kenyataan itu mengesahkan gambar tersebut adalah kunjung hormat Menteri di JPM, Mujahid Yusof Rawa di pejabat Guan Eng samalam, namun menafikan melibatkan ia perbincangan mengenai TH.

“Sebagai makluman semua pihak, gambar yang tular itu merupakan salah satu sesi kunjung hormat yang dilakukan Menteri di JPM, Mujahid Yusof Rawa bersama timbalan ketua pengarah Dasar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pengarah Bahagian Maqasid Syariah Jakim.

“(Ini) bagi memberi penerangan tentang gagasan Rahmatan Lil ‘Alamin yang dibawa pentadbiran Islam pada hari ini,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, tular gambar di media sosial yang menunjukkan Guan Eng bersama Mujahid dalam satu mesyuarat.

Dalam gambar itu tertulis: “Siapa yang dominan dalam urusan agama kita sekarang ini?,” tulis kapsyen gambar itu.

Gambar itu tular di tengah-tengah kritikan hebat terhadap Mujahid susulan penutupan empat hotel milik Kumpulan TH Hotel and Residence Sdn. Bhd. (THHR) yang dikatakan dipindahkan kepada sebuah anak syarikat Kementerian Kewangan, Urus Harta Jamaah Sdn. Bhd.

Menurut surat pekeliling yang tular di media sosial empat hotel berkenaan melibatkan TH Hotel Kinabalu, TH Hotel Penang, TH Hotel and Convention Center Alor Setar dan TH Hotel and Convention Center Terengganu.

Mujahid dalam laman Facebook kemudiannya memuatnaik satu blog di laman Facebooknya yang mengesahkan penutupan tersebut, namun memadam hantaran berkenaan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Utusan Kumpulan THHR, Zulkefli Ahmad berkata, penamatan operasi dan perkhimatan itu merupakan satu keputusan yang tidak dapat dielakkan memandangkan operasi pengurusan hotel-hotel yang terlibat tersebut akan diambilalih oleh Urusharta Jamaah Sdn. Bhd.

Mujahid dalam reaksinya berkata, hotel-hotel tersebut tidak akan ditutup, sebaliknya terus beroperasi tetapi ditukar dengan nama lain sekaligus mengundang kritikan lebih hebat netizen yang rata-rata berpendapat kenyataan menteri itu mengesahkan empat hotel berkenaan sudah dijual.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments