PLUS tidak jadi dijual, harga tol dikurangkan 18%

KERAJAAN memutuskan untuk tidak meneruskan hasrat menjual konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Bhd (PLUS).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berkata, perkara tersebut diputuskan pada mesyuarat Kabinet semalam.

“Kita telah mengkaji bidaan yang dilakukan oleh semua pihak dan memutuskan cara terbaik ialah tidak menjual PLUS kepada mana-mana pihak sebaliknya terus kekal bersama Khazanah Nasional Bhd dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).

“Mereka tidak perlu membeli apa-apa (pegangan saham) dan boleh menurunkan kadar tol tanpa memberi kesan besar kepada pendapatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Balai Islam An-Nur Ibu Pejabat TNB di sini hari ini.

Dr Mahathir sebelum ini membayangkan hasrat kerajaan untuk menjual kepentingan PLUS kepada pihak swasta, namun cadangan itu mendapat kritikan umum.

Ramai pihak bimbang langkah itu akan menyebabkan kemungkinan berlaku kenaikan tol pada masa depan dan kerajaan pada masa tersebut tidak mempunyai keupayaan untuk campur tangan secara langsung.

Dalam pada itu, Dr Mahathir memberitahu, syarikat konsesi PLUS juga akan menurunkan kadar tol sebanyak 18 peratus bermula tahun ini bagi tempoh 30 tahun.

“Ini bermakna kadar tersebut sangat rendah (buat pengguna lebuh raya PLUS).

“Kita sedar akan berlaku peningkatan kenderaan tetapi apa yang bakal diperolehi mereka (PLUS) tidak setinggi yang disangka kerana nilai tersebut akan mengecil pada masa akan datang,” katanya.

Oktober tahun lalu Menteri Kerja Raya, Baru Bian mengesahkan menerima empat tawaran mengambil alih kepentingan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dalam konsesi lebuh raya PLUS.

Katanya, empat syarikat yang mengemukakan tawaran itu ialah Widad Business Group (WBG), Maju Holding Sdn Bhd dan RRJ Capital, selain ahli perniagaan yang juga jutawan, Tan Sri Halim Saad.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments