Kurang bukti, kes salah laku seks Anwar-Yusoff Rawter ditutup

JABATAN Peguam Negara menerima saranan pihak polis supaya kes dakwaan serangan seksual melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Muhammed Yusoff Rawter ditutup kerana kekurangan bukti.

Peguam Cara Negara Engku Nor Faizah Engku Atek dalam satu kenyataan hari ini berkata, terdapat percanggahan-percanggahan fakta yang material yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan.

Justeru katanya, tiada pendakwaan boleh dilakukan mana-mana orang di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan, atau mana-mana seksyen lain di bawah Kanun yang sama.

“Kami juga mendapati tidak terdapat cukup keterangan untuk membuat pertuduhan mengenai laporan-laporan polis yang dibuat berdasarkan keterangan-keterangan yang ada dalam kertas siasatan.

“Dalam hal keadaan yang demikian, kami bersetuju dengan saranan PDRM supaya kes ini ditutup,” katanya sambil menambah penyiasatan boleh dibuka semula sekiranya dan apabila terdapat keterangan baru.

Muhammed Yusoff Rawther dalam akuan bersumpah mendakwa kejadian itu berlaku di kediaman Presiden PKR tersebut di Segambut pada 2 Oktober tahun lalu.

Dia kemudian membuat laporan polis pada 7 Disember bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan berkenaan.

Muhammed Yusoff juga sudah melakukan ujian poligraf di Bukit Aman pada 17 Disember tahun lalu.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments