H1N1: 29 pelajar lagi dijangkiti di Perak

ANGKA pelajar yang disahkan positif Influenza A (H1N1), hari ini terus meningkat dengan 29 lagi direkodkan dijangkiti penyakit itu membabitkan beberapa sekolah di negeri ini.

Perkembangan itu menjadikan keseluruhan 37 pelajar disahkan dijangkiti setakat ini.

Pengarah Pendidikan Perak, Dr Suhaimi Mohamed Ali, berkata 20 sekolah terjejas akibat penularan virus itu dengan tujuh sekolah di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS), lapan sekolah di daerah Kinta, tiga sekolah di Manjung dan dua sekolah di Bagan Datuk.

Katanya, sebanyak 12 kes dicatatkan di daerah Kinta iaitu 10 kes di Kinta Utara dan dua kes di Kinta Selatan, 11 kes di Bagan Datuk, sembilan kes di LMS dan lima kes di Manjung.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini hanya sebuah sekolah iaitu Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI) diarahkan tutup.

“Sejak Sabtu lalu hingga hari ini, seramai 10 pelajar SEMESTI dilaporkan terkena jangkitan dan sekolah itu diarahkan tutup sehingga 19 Januari ini,” katanya dipetik Berita Harian.

Suhaimi bersama pegawai pendidikan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri turut membuat lawatan di beberapa sekolah yang terbabit kes itu, hari ini.

“Saya baru membuat lawatan hari ini. Kita sudah arahkan pihak sekolah agar mana-mana pelajar yang demam tidak perlu ke bilik rehat di sekolah, sebaliknya terus dibawa ke hospital untuk pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata, semua pelajar dan murid yang dijangkiti dinasihatkan oleh pihak perubatan agar dikuarantin di rumah masing-masing.

Sebelum ini, NSTP melaporkan SEMESTI ditutup sejak Sabtu lalu hingga 19 Januari ini, selepas lapan pelajarnya disahkan positif H1N1.

Susulan penutupan itu, semua pelajar sekolah terbabit yang tinggal di asrama diarah pulang ke rumah keluarga masing-masing.

Pengarah Pendidikan Perak, Dr Suhaimi Mohamed Ali dilaporkan berkata, penutupan sekolah berkenaan adalah yang pertama di negeri ini membabitkan jangkitan H1N1.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments