Harga RON95 dinaikkan 1 sen tiap minggu hingga capai harga pasaran

HARGA apungan petrol RON95 akan dinaikkan satu sen setiap minggu sehingga mencapai harga semasa pasaran sebaik saja Program Subsidi Petrol dilaksanakan bermula Januari tahun depan kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen.

Menurut Chong, apungan itu akan dilakukan sehingga harga RON95 mencapai harga pasaran.

“Kita apungkan harga petrol untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan juga supaya harga barangan tidak akan melambung secara mendadak.

“Kita akan apungkan harga RON95 secara berperingkat iaitu satu atau dua sen satu minggu sehingga harganya mencapai harga pasaran,” katanya.

Chong menjawab soalan tambahan dikemukakan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) di Dewan Rakyat hari ini..

Rubiah meminta kerajaan menjelaskan sama ada mekanisme akan diwujudkan untuk mengelakkan kenaikan harga barang ekoran apungan petrol setelah PSP dilaksanakan Januari depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution sebelum ini memaklumkan, PSP hanya akan dilaksanakan di Semenanjung melibatkan kira-kira 2.9 juta penerima daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Selain itu golongan sejumlah golongan M40 – berpendapatan kurang RM4,000 – turut layak mendapat subsidi itu melalui Kad95.

Chong dalam pada itu memberitahu, bagi Labuan, Sabah dan Sarawak, subsidi secara pukal akan terus dilaksanakan dengan harga RON95 tidak melebihi RM2.08.

“Ia setelah kerajaan mengambil kira keperluan penduduk yang kebanyakannya menggunakan kenderaan berkapasiti enjin besar dan diesel,” katanya.

Berkenaan kawalan harga barang ekoran apungan RON95, CHong berkata kementeriannya akan menggunakan Akta Kawalan Harga bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan untuk mengaut untung berlebihan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments