Kejatuhan harga sawit: Peneroka patut bersyukur, kata calon PH

KEJATUHAN harga kelapa sawit pada masa ini tidaklah begitu teruk berbanding pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRK Tanjung Piai, Karmaine Sardini berkata, sehubungan itu, para peneroka di kawasan tersebut sepatutnya lebih bersyukur.

Ketika berucap di pusat daerah mengundi Penerok malam tadi, Karmaine berkata PH menerima banyak aduan tentang harga minyak kelapa sawit yang merosot ke RM270 bagi setiap satu tan.

“Kita RM270 tu patut syukur sangat sebenarnya. (Harga) RM270 tu banyak, bukan sikit… banyak sebenarnya.

“Kalau ada kebun 10 ekar, (boleh) dapat lima tan paling tidak, lima tan darab RM270, dapat RM1,000 lebih.

“Duduk kampung apa sangat nak bayar? Nak makan sayur, tanam sendiri. Cuma yang perlu isi minyak. Benda ini kena syukur walaupun sedikit, kita masih dapat makan,” katanya.

Dia turut berkata keadaan pernah menjadi lebih teruk semasa negara ini di bawah pemerintahan BN apabila harga minyak sawit jatuh serendah RM87 setan.

Berdasarkan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), harga buah tandan segar di kawasan selatan pada 1 Nov adalah antara RM421 untuk buah gred C hingga RM466 untuk buah gred A bagi setiap tan.

Kerajaan PH kini giat mempromosikan minyak sawit untuk penggunaan domestik dan luar negara secara agresif.

Bagaimanapun, baru-baru ini, India selaku salah satu pembeli terbesar minyak sawit Malaysia melancarkan boikot ke atas komoditi itu selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengkritik India dalam pergolakan di wilayah Kashmir.

MCA – yang mewakili BN dan PAS – menggunakan isu tersebut dengan hebat dalam kempen mereka di Tanjung Piai, dengan presidennya, Dr Wee Ka Siong berkata boikot India itu hanya akan menyebabkan harga semakin jatuh.

“Harga akan makin jatuh, dan ini akan membuatkan pekebun kecil di Tanjung Piai menderita,” kata Wee dalam ceramah di Pekan Nenas Sabtu lalu.

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru, dengan dua pesaing utama ialah Karmaine dan Ketua MCA Tanjung Piai, Wee Jeck Seng.

Calon lain ialah Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), Wendy Subramaniam (Gerakan) dan dua calon bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Dalam pilihan raya umum lalu, calon PH, Md Farid Md Rafik dari Bersatu berjaya merampas kerusi itu daripada Jeck Seng dengan majoriti 524 undi.

Md Farid memperoleh 21,255 undi berbanding Jeck Seng 20,731 undi.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments