Tun M akui kenakan cukai kepada rakyat untuk selamatkan taikun

TUN Dr Mahathir Mohamad mengakui terpaksa mengenakan cukai kepada rakyat semasa krisis kewangan 1997-1998 bagi menyelamatkan taikun-taikun di Malaysia.

Namun, kata Perdana Menteri, ia memang menjadi cara negara ini menyelesaikan krisis dengan menolong taikun supaya golongan tersebut dapat terus berniaga dan kemudiannya membayar cukai kepada kerajaan.

Dalam hal itu, Dr Mahathir berkata, 70 tahun dahulu, taikun-taikun dibunuh dan harta mereka dirampas di beberapa buah negara.

Semua perniagaan dan perusahaan taikun itu akan diambil oleh pemerintah dengan harapan 100% dari keuntungan akan diperolehi oleh kerajaan.

Jelasnya, kerajaan perlu menolong taikun, jika tidak, perniagaan taikun akan rugi, gagal dan terpaksa ditutup dan akhirnya semua kakitangan – sama ada yang kaya dan tidak kaya akan menganggur.

“Dan, kerajaan pula akan hilang cukai korporat dan cukai pendapatan kerana sebahagian besar cukai dibayar oleh taikun. Sebahagian besar dari dana kerajaan akan hilang. Operasi dan pembangunan negara tidak dapat diteruskan. Segala infrastruktur tidak dapat dibangunkan.

“Dalam keadaan kehilangan cukai ke atas taikun pun kerajaan terpaksa mengenakan cukai kepada yang bukan ditakrif sebagai taikun. Setelah membayar cukai oleh bukan taikun, mereka akan masuk dalam golongan mereka yang miskin,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) kian berdepan tekanan lantaran kritikan umum terhadap polisi kerajaan terutamanya dalam Bajet 2020 yang lebih memberi keuntungan kepada golongan taikun atau konglomerat besar.

Ia menghangatkan semula kritikan pada era 22 tahun kepimpinan Dr Mahathir yang didakwa menyelamatkan banyak syarikat besar yang rapat dengannya daripada kerugian dengan melakukan bail-out menggunakan wang kerajaan.

Dr Mahathir berkata, kerajaan boleh sahaja menghalau keluar semua taikun ini dengan tidak menolong mereka.

“Biar mereka bankrap. Kita akan tolong yang bukan taikun sahaja.

“Tetapi dengan apakah yang kita hendak tolong bukan taikun ini selepas semua taikun tidak dapat bayar cukai. Itu soalannya?,” hujahnya sambil minta maaf kerana tindakan beliau yang menguntungkan taikun semasa menangani krisis kewangan 1997-1998.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments