Mayat pengarah filem Pit Hanif ditemui

TANDA tanya mengenai nasib pengarah filem dan drama, Firdaus Hanif atau Pitt Hanif, 43, yang dikhuatiri lemas akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui petang tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mayat mangsa ditemukan terapung kira-kira 500 meter dari lokasi dilaporkan hilang pada jam 4.25 petang tadi.

Azli memberitahu, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Lipis untuk bedah siasat.

“Penemuan mayat mangsa ini menamatkan pencarian operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang ditamatkan pada jam 5 petang ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari semalam, mangsa bersama rakannya sedang memancing di Sungai Jelai dekat Jambatan Gemunchor Mela, di sini sebelum bot gentian kaca dinaiki mereka terbalik.

Rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri, namun pengarah yang dikenali dengan panggilan Pitt Hanif hilang dalam kejadian tersebut.

Pitt Hanif yang juga anak dramatis terkenal, Fauziah Nawi itu difahamkan berada di daerah ini untuk penggambaran sebuah filem sejak dua bulan lalu.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments