Diambang perpecahan serius, PH Melaka bakal tumbang?

DALAM keributan politik negara, spekulasi kini bertiup kencang bahawa kerajaan negeri Pakatan Harapan Melaka bakal tumbang dengan dua anggota exco negeri dilaporkan sedia bekerjasama dengan UMNO untuk membentuk pentadbiran baru.

Spekulasi berkisar kepada protes dalam kepimpinan parti Bersatu di negeri itu yang dikatakan berpecah dua.

Pada sidang akhbar petang tadi, Ketua Menteri Adly Zahari menafikan perkara itu.

Laporan portal Malaysiakini yang memetik sumber bagaimanapun memberitahu, pergolakan itu ternyata berasas susulan kegoyahan dalam kepimpinan Bersatu.

Fokus kini terarah kepada pemimpin Bersatu Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen dan Noor Effandi Ahmad.

Rafiq yang juga adalah timbalan ketua Bersatu Melaka, menafikan dakwaan itu.

Walau bagaimanapun, beliau dan 13 ADUN PH Melaka yang lain, hari ini mengeluarkan kenyataan bersama yang menyuarakan sokongan kepada Adly.

“Bagi pihak Bersatu Melaka, saya boleh sahkan tiada rancangan seperti itu oleh mana-mana exco negeri dari Bersatu untuk melancarkan undi tidak percaya terhadap ketua menteri.

“Tetapi saya tidak boleh bercakap bagi pihak exco parti lain, itu kamu kenya tanya ketua parti masing-masing,” katanya dipetik portal berkenaan.

Effandi bagaimanapun belum membuat sebarang kenyataan mengenai spekulasi tersebut.

Sementara itu, ADUN terbabit dalam satu kenyataan bersama menolak sebarang tindakan yang memperlekehkan mandat rakyat dan membelakangi prinsip demokrasi melalui pilihanraya.

“Fokus kerajaan negeri adalah menggalas amanah rakyat dengan program dan dasar yang progresif, inklusif dan inovatif bagi menjamin kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negeri.

“Kami memberi sokongan dan kepercayaan penuh kepada YAB Ketua Menteri Adly Zahari untuk terus memimpin negeri Melaka bagi melaksanakan janji Pakatan Harapan,” kata mereka dalam kenyataan tersebut.

pada pilihan raya umum lalu, Pakatan Harapan membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua tempat kerusi sahaja. Gabungan itu mempunyai 15 kerusi (DAP – 8, PKR – 3, Amanah – 2, Bersatu – 2) manakala BN mempunyai 13 kerusi.

Dengan hanya seorang wakil rakyat dari PH yang membelot DUN Melaka akan menjadi tergantung.

Rafiq mengetuai salah satu daripada dua kumpulan dalam Bersatu Melaka, dengan satu lagi diketuai oleh pengerusi negeri Mohd Redzuan Yusof, yang juga adalah menteri pembangunan keusahawanan.

Walaupun tidak sehaluan, kedua-dua mereka dikatakan menyokong pengerusi Bersatu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments