Penanam tembikai diboikot pemborong diserbu pembeli

UNTUNG nasibnya menjadi perhatian apabila kisah tanamannya diboikot oleh pemborong menjadi tular di media sosial.

Enggan berserah kepada takdir, peniaga berkenaan mencuba nasib dengan menjual hasil tanamannya sendiri di tepi jalan di kawasan Meru Raya, Ipoh.

Tanpa disangka-sangka, nasib peniaga Melayu berkenaan mendapat simpati daripada masyarakat setempat yang beramai-ramai membeli buah jualannya.

Khemah yang didirikan peniaga terbabit dipenuhi oleh orang ramai yang menyerbu longgokan buah tembikai yang berada di atas lori dan dijual dengan harga serendah RM1 sekilogram.

Pada masa sama, deretan kenderaan dilihat berhampiran kawasan berkenaan.

Rata-rata yang ditemui memberitahu, mereka datang ke situ selepas mengikuti kisah yang dialami peniaga terbabit di media sosial.

“Lagipun harganya murah, jadi saya datang untuk membantu dan pada masa sama membeli dengan harga yang sangat berpatutan,” kata seorang pembeli yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul, 33.

Bagi Usman Ajam, 41, adalah tidak adil jika peniaga diboikot tanpa sebarang asas yang munasabah dan dia terpanggil untuk membantu.

Syed Arshad Syed Jamil, 39, pula memberitahu, dia sanggup datang dari Batu Gajah untuk membeli buah dari petani berkenaan secara borong untuk dijual semula.

“Tak rugi pun datang untuk bantu. Harganya juga murah sebab kita pun peniaga, kita faham adat resam berniaga,” ujarnya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments