Cabul budak 5 tahun, lelaki warga Bangladesh diburu

SEORANG lelaki Bangladesh menjadi buruan polis selepas disyaki mencabul kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di sebuah kedai menjual langsir di Pusat Perniagaan Nilai 3 di Nilai pada 9 Oktober lalu.

Perbuatan jijik lelaki terbabit terbongkar apabila mangsa menceritakan kejadian kepada ibunya sebelum wanita itu tampil membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, wanita berusia 37 tahun itu mendakwa anak perempuannya berusia lima tahun mengadu dicabul kira-kira jam 10 malam pada 9 Oktober lalu.

“Mangsa menceritakan dicabul lelaki Bangladesh dikenali Alam ketika berada di premis tempat ibunya bekerja.

“Suspek bekerja di kedai langsir terletak bersebelahan kedai wanita itu bekerja dan mereka saling mengenali sejak enam tahun lalu. Malah, suspek sering bermain dengan mangsa ketika berada di kedai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Nor Marzukee, polis segera melakukan siasatan selepas menerima laporan kejadian.

“Polis melakukan siasatan sejurus laporan dibuat dan kita mendapati kejadian dipercayai berlaku di belakang premis wanita itu bekerja yang turut dijadikan tempat rehat,” katanya.

Polis katanya, turut menjalankan pemeriksaan di rumah suspek tetapi dia dipercayai sudah melarikan diri.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments