Dipercayai ada kaitan dengan LTTE, 2 pemimpin DAP ditahan

POLIS menahan Exco Kerajaan Negeri Melaka, G. Saminathan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaran atas dakwaan mempunyai hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Kedua-dua pemimpin DAP itu dipercayai ditahan pagi ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan, Cawangan Khas Bukit Aman, Ayub Khan Mydin Pitchay mengesahkan penahanan dua pemimpin DAP itu.

Maklumat juga tersebar di Whatsapp bahawa Saminathan, yang juga ADUN Gadek, ditahan di pejabatnya dan digari.

Memetik sumber portal Malaysiakini, mereka berdua ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma.

Akta itu membenarkan penahanan selama 28 hari.

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari juga dilaporkan mengesahkan terdapat exconya ditahan polis tetapi tidak menjelaskan sebab penahanan itu.

“Ada maklumat seorang exco ditahan polis Bukit Aman. Secara dasar. kerajaan negeri akan berurusan dengan pihak berkuasa bagi mendapatkan maklumat punca beliau ditahan.

“Saya yakin, exco berkenaan akan memberikan kerjasama bagi membantu siasatan,” beliau dipetik sebagai berkata oleh Berita Harian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy, yang berkali-kali menafikan mempunyai hubungan dengan LTTE, berkata hanya mempunyai maklumat yang terhad berkaitan penahanan itu.

“Saya dimaklumkan bahawa terdapat juga NGO juga ditahan.

“Ini mungkin sebahagian daripada operasi yang lebih besar,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments