Selepas lebih 80 tahun, Utusan henti operasi hari ini

BERIKUTAN kekangan masalah kewangan yang yang terus menghimpit, akhbar bahasa Melayu tertua negara Utusan Malaysia akhirnya mengumumkan menghentikan operasinya bermula hari ini.

Serentak dengan itu, satu lagi akhbar terbitan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Kosmo! turut ditimpa nasib yang sama.

Perkara itu dimaklumkan oleh satu memo dalaman bertarikh 9 Oktober 2019 (hari ini) yang dilihat Malaysiakini.

Menurut memo itu, Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (Malaysia) Berhad Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata syarikat itu tidak lagi solven (mampu membayar hutang) untuk meneruskan perniagaan, walaupun telah melaksanakan beberapa langkah untuk menyelamatkannya.

“Oleh yang demikian, syarikat akan memberhentikan operasi berkuat kuasa pada Rabu, 9 Oktober 2019.

“Sehubungan dengan itu, tarikh akhir bekerja tuan/puan telah ditetapkan pada Rabu, 9 Oktober 2019, manakala tarikh akhir perkhidmatan ialah pada Khamis, 31 Oktober 2019,” katanya.

Terdahulu terdapat spekulasi mengatakan Utusan Malaysia dan Kosmo! akan menghentikan operasi hari ini dan semua pekerja akan diberi notis pemecatan tengah hari ini.

Menurut memorandum pekeliling tersebut, keputusan itu dibuat apabila edaran akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo semakin merosot, penghasilan iklan tidak mencapai sasaran RM4 juta sebulan dan terpaksa berdepan dengan pelbagai tindakan perundangan.

Menurut Abd Aziz, keadaan syarikat akhbar tertua itu bertambah parah selepas Mei 2018.

Untuk rekod Utusan merupakan akhbar yang memihak kepada Umno. Umno kalah ketika pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018.

“Pelbagai usaha telah dilaksanakan dengan harapan untuk meletakkan syarikat kepada kedudukan yang lebih kukuh dan terjamin.

“Antara langkah yang diambil ialah menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang menyaksikan lebih 700 kakitangan melepaskan jawatan mereka.

“Ini merupakan pemberhentian kerja berskala besar yang terpaksa dilakukan bagi kelangsungan syarikat.

“Syarikat juga telah berusaha dengan menjual aset-aset syarikat dan kumpulan untuk menampung modal dan mendapatkan aliran tunai yang mencukupi,” katanya.

Katanya, bukan sahaja gaji pekerja gagal dibayar mengikut masa, malah hutang juga tidak dapat dijelaskan dan semakin tertunggak.

“Sehubungan itu, Lembaga Pengarah Utusan telah pada 7 Oktober 2019 meluluskan cadangan penggulungan sukarela pemiutang dan seterusnya meluluskan pelantikan UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai Pelikuidasi Interim (Interim Liquidator),” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments