‘Itu politik bangang, saya tidak sebut barua’ – Anwar

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau ada menyebut perkataan “barua” yang merujuk Kongres Maruah Melayu dalam satu klip video tersebar sejak semalam.

“Itu semua politik bangang,” katanya di lobi Parlimen hari ini ketika ditanya wartawan sama ada beliau menyebut “barua” atau “maruah” dalam video viral itu.

“Jangan fitnah, jelas ini gurauan saya dengan perdana menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Mat Sabu (Mohamad Sabu).”

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, apa yang disebutnya ialah “ini semua semangat maruah lepas Kongres Maruah (Melayu)”.

Satu klip video yang tersebar di media sosial menunjukkan Anwar bergurau kepada Mat Sabu dengan berkata, Dr Mahathir Mohamad lebih bersemangat selepas menghadiri Kongres Maruah Melayu pada Ahad lalu.

Kesian pula bila tengok Tun Mahathir diperlakukan macam ni 😔Dah tua orang tua tu, 94 tahun dah. Macam tu je di BARUA…

Posted by Papa Azri on Selasa, 8 Oktober 2019

Ia kemudiannya menimbulkan persoalan jika Anwar sengaja mempersendakan kongres itu yang dihadiri Mahathir dan pemimpin Umno, PAS serta Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Susulan itu, ada pihak menggesa Mahathir supaya tidak menghadiri kongres itu, tetapi perdana menteri dilaporkan berkata, sebagai orang Melayu, beliau berhak menghadirinya.

Anwar kemudiannya berkata, beliau tidak menghadiri kongres itu kerana lewat terima jemputan.

Hari ini, setiausaha politik kepada perdana menteri, Mohd Zahid Md Arip mengingatkan semua pemimpin supaya bercakap dengan jelas bagi mengelakkan timbul salah faham.

Zahid dilaporkan berkata, beliau bersangka baik dan menganggap Anwar menyebut “barua” tanpa sengaja.

“Dia bila salah satu huruf ini dia boleh menimbulkan masalah di lain hari.

“Jadi saya fikir ini gurauan dan walaupun gurau, saya ambil kesempatan ini untuk nasihatkan Anwar dan siapa-siapa sahaja supaya lain kali biar jelas sebutan itu supaya kita tak berperang,” kata Zahid.

Sementara itu, Mat Sabu yang merupakan presiden Amanah berkata, beliau tidak pasti apa yang disebut Anwar kerana ia tidak jelas dalam video viral itu.

“Saya tak dengar apa. Tengok video pun saya tak dengar apa-apa,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments