Vape, rokok elektronik bakal diharamkan?

KEMENTERIAN Kesihatan mengesahkan sedang melakukan kajian khusus sama ada akan melaksanakan larangan sepenuhnya bagi vape atau rokok elektronik di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, pihaknya sudah menubuhkan jawatankuasa khusus bagi mengkaji berkenaan vape dan juga rokok.

“Melalui jawatankuasa khusus itu, kerajaan kini dalam perancangan untuk menubuhkan rang undang-undang khas bagi mengawal vape dan juga rokok di negara ini.

“Semua dalam perancangan. Ia termasuk mengkaji sama ada kita (negara) akan melaksanakan larangan sepenuhnya penggunaan vape seperti di beberapa negara lain,” katanya ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Simposium Health Promotion In Learning Institution (HePiLI) Peringkat Kebangsaan 2019 di Petaling Jaya hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Dalam pada itu, Dr Lee berkata, pihaknya juga kini sedang berusaha menyekat iklan yang mempromosikan serta penjualan vape atas talian.

Menurutnya, pihaknya mengesan ada iklan itu mensasarkan jualan mereka kepada golongan muda terutama remaja sekolah.

“Berdasarkan kajian Tobacco and E-Cigarette Survey among Adolescents in Malaysia (TECMA) yang dijalankan KKM pada 2016, 300,000 remaja bersekolah berusia antara 10 hingga 19 tahun adalah pengguna rokok elektronik dan vape.

“KKM memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan lebih serius bagi memastikan penjualan rokok elektronik tidak berleluasa terutama kepada remaja,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments