‘Saya hanya nampak selipar terapung, saya tahu ia kepunyaan Anas’

LANS Koperal Ahmad Hafiz Mustafa menceritakan saat-saat duka ketika melihat selipar milik anaknya, Muhamad Anas Hadif terapung sebelum kanak-kanak itu ditemui lemas akibat terjatuh ke dalam lubang kumbahan di Kuarters Balai Polis Pasir Puteh, Ipoh.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, Muhamad Anas Hadif Ahmad Hafiz ditemukan lemas oleh pasukan bomba selepas 30 minit operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

Ahmad Hafiz 32, berkata, dia bersama isterinya, Sofiah Mohd Teridi, 32, bergegas turun dari tingkat tiga rumah pangsa berhampiran selepas terdengar jeritan kuat daripada anak ketiga mereka, Muhamad Asyraf, 6.

“Kami berada di rumah terdengar jeritan kuat mereka, saya kelam kabut turun ke bawah kerana ingatkan mereka terlibat kemalangan. Setibanya di bawah, saya tidak nampak Anas melainkan Muhamad Syakir Zufairi, 7, dan Asyraf sahaja.

“Selepas mendapatkan mereka, saya nampak penutup lubang kumbahan terbuka. Lihat sahaja ke dalam saya nampak selipar dipakai anak terapung. Saya cam itu selipar Anas,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Kenangan… Sofia mendukung Anas (baju hijau) bersama tiga anaknya yang lain.

Menurutnya, mangsa bersama dua abangnya sering bermain di lokasi kejadian.

“Mereka selalu bermain di kawasan lapang yang terletak di belakang Balai Polis Pasir Puteh itu termasuk semalam, tetapi saya tidak sangka penutup lubang itu sebenarnya sudah terbuka.

“Anas anak yang manja. Dia rapat dengan kami semua, kalau nak ke mana-mana pasti dia nak ikut sekali. Baru sebulan pindah ke sini dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung,” katanya.

Suasana pilu menyelubungi pekarangan Jabatan Forensik apabila anak sulung mereka, Mohamad Syafiq, 10, menangis teresak-esak selepas keluar daripada melihat jenazah adiknya.

Difahamkan, keluarga mangsa baru sebulan tinggal di kuarters berkenaan selepas Ahmad Hafiz ditukarkan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung ke Cawangan Kem Komandan, Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tiram, Lekir, Manjung.

Penutup senang dibuka

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kemalangan itu berlaku apabila penutup lubang tersebut dipercayai dibuka oleh kumpulan kanak-kanak.

“Siasatan awal mendapati penutup lubang itu adalah jenis besi yang boleh dibuka dan pemantauan sebelum ini mendapati ia sentiasa tertutup.

“Dipercayai penutup lubang itu telah dialihkan sejak semalam tanpa ditutup. Ia satu kemalangan dan bukanlah dibiarkan tanpa ditutup,” katanya.

LOKASi kejadian mangsa dipercayai terjatuh dan lemas.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Mohd Fadzeli Che Hussin berkata, seramai 11 anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.16 pagi.

“Anggota bertindak menggunakan pam untuk mengeluarkan sebahagian air kumbahan untuk memudahkan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Seorang anggota dipakaikan abah-abah dan tali untuk mencari mangsa di dalam lubang terbabit pada kedalaman dua meter dan menemui mangsa pada jam 9 pagi,” katanya.

Menurutnya, anggota memberi bantuan pernafasan (CPR) setelah mangsa berjaya dikeluarkan.

“Bagaimanapun pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments