Ahli Parlimen DAP bakal dilantik pengerusi baru Niosh?

AHLI Parlimen Lanang, Alice Lau daripada DAP disebut-sebut bakal dilantik sebagai pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

Ia bagi menggantikan Lee Lam Thye yang tamat kontrak baru-baru ini.

Sumber yang dipetik portal Malaysiakini memberitahu, lembaga pengarah diberi taklimat oleh pengarah eksekutif Niosh yang Alice Lau akan menjadi pengerusi seterusnya.

“Bagaimanapun mereka tidak pasti tarikh pelantikan rasmi Lau,” kata sumber itu dipetik.

Lau yang dihubungi mengesahkan beliau dihubungi pejabat Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkenaan tawaran itu, namun belum menerima tawaran secara rasmi.

Kulasegaran adalah Naib Presiden DAP Kebangsaan.

Lau juga berkata tidak akan mengulas perkara itu lebih lanjut, termasuk sama ada beliau akan menerima tawaran itu atau sama ada pelantikan anggota parlimen Pakatan Harapan satu langkah yang betul – memandangkan janji manifestonya bahawa tiada pelantikan politik dalam agensi berkaitan kerajaan – selagi tidak menerima surat tawaran.

“(Panggilan) daripada pejabatnya (Kulasegaran). Saya hanya akan komen selepas menerima surat,” katanya.

Antara manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum lalu ialah tiada lagi lantikan politik bagi jawatan-jawatan dalam agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments