‘Kami ingat akan kalah’, Tun M akui PH jadi mangsa manifesto sendiri

TUN Dr Mahathir Mohamad mengakui kerajaan yang dipimpinnya kini menjadi mangsa kepada manifesto yang mereka sendiri cipta pada pilihan raya umum lalu.

Berdepan kritikan demi kritikan daripada rakyat kebelakangan ini, Perdana Menteri berkata, Pakatan Harapan sengaja memberi janji-janji yang sukar dilaksanakan kerana menyangka akan kalah dalam pilihan raya.

“Sebenarnya, kami ingat kami akan kalah, jadi kami letak perkara-perkara yang susah (untuk direalisasikan) dalam manifesto, supaya jika kami kalah, kerajaan (lama) akan terperangkap.

“Tapi sekarang kami jadi kerajaan, kami jadi mangsa kepada manifesto kami sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Lawasia Constitutional and Rule of Law di Hotel One World, Petaling Jaya hari ini.

Dr Mahathir memberi contoh PH mahu memansuhkan beberapa undang-undang drakonian seperti yang dijanjikan sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu, namun ia tidak semudah yang disangkakan.

Katanya, proses memansuhkan undang-undang yang melibatkan perlembagaan perlulah mendapat sokongan dua pertiga parlimen- sesuatu yang tidak dimiliki oleh kerajaan pemerintah sekarang.

Sedangkan, tambahnya, rakyat mahu melihat perubahan dalam kadar yang segera.

“Rakyat tidak sabar, mereka mahu undang-undang ini dimansuhkan segera. Itu tak mungkin dapat dilakukan. Dan hari ini kami dikritik kerana tidak mengotakan janji.

“Memang mudah membuat janji ketika PRU, tapi tak mudah nak tunaikannya bila dah menang PRU,” katanya lagi.

Antara janji PH dalam manifesto mereka adalah untuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018, Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016.

Walaupun kerajaan PH komited untuk meminda akta sedia ada, namun kecenderungan rakyat ialah untuk kerajaan mengotakan janji asas mereka iaitu memansuhkan tol, melupuskan PTPTN dan menurunkan harga bahan api.

Bagaimanapun, kerajaan PH kini berdepan satu lagi tekanan apabila membayangkan akan membuat ‘u-turn’ dengan menarik balik janji melupuskan GST dengan mengembalikan sistem cukai yang mereka perangi dalam kempen PRU lalu.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments