Polis masih siasat kaitan Ramasamy dengan LTTE – KPN

POLIS masih menjalankan siasatan ke atas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan pemberontak Sri Lanka, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, hasil siasatan itu akan dimuktamadkan  apabila siap kelak.

“Keputusan akan dibuat dalam sikit masa lagi. Perbuatan itu sekiranya benar menagung-agungkan satu pertubuhan pengganas, amat tak kena dengan negara kita,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin yang merupakan pengkritik lantang Ramasamy, pernah menggesa pihak berkuasa menyiasat kaitan pemimpin DAP itu dengan LTTE, kumpulan yang diklasifikasikan organisasi pengganas oleh lebih 30 negara, termasuk Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

Mohd Asri kemudiannya berkongsi sekeping gambar menunjukkan Ramasamy memberi penghormatan kepada imej satu simbol LTTE. Berpuluh laporan polis kemudiannya dibuat terhadap beliau.

Ramasamy kemudiannya menjelaskan beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Hal Ehwal Perlembagaan LTTE yang didakwanya bukan sebahagian daripada kumpulan pemberontak itu di sebalik perang saudara selama sedekad yang memusnahkan Sri Lanka.

Katanya, jawatankuasa itu ditubuhkan kerajaan Sri Lanka selepas satu perjanjian damai dimeterai antara Colombo dan LTTE.

Julai tahun lalu, polis menyoal siasat Ramasamy atas dakwaan hubungannya dengan kumpulan pemberontak itu.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments