Jual rumah kepada warga asing adalah demi kebaikan negara – Zuraida

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamarudin yang dikritik berhubung cadangan jualan hartanah kepada warga asing terutamanya dari China dan Hong Kong menegaskan bahawa langkah itu adalah demi kebaikan negara.

Beliau berkata, cadangan tersebut jika dilaksanakan bukan sahaja akan dapat mengukuhkan ekonomi negara, malah dapat membantu pemaju menyelesaikan lambakan rumah mewah yang tidak terjual.

Zuraida berkata, pengkritik cadangan berkenaan mungkin tidak faham dengan konsep ekonomi negara ketika ini, lebih-lebih lagi terdapat banyak hartanah dan projek rumah mewah bernilai kira-kira RM100 bilion tidak terjual di negara ini.

“Cuba bayangkan kalau kita tak selesaikan semua hartanah ini, 10 tahun akan datang landskap negara hanya akan kelihatan banyak bangunan terbengkalai, bangunan kotor dan uzur.

“Adakah kita mahu melihat negara menjadi seperti itu? Pastinya tidak dan kita akan menyesal.

“Jadi kita perlu menangani semampu boleh dari sekarang, namun penjualan hartanah yang akan dilakukan bukan seperti menjual pisang goreng dan dibuat sesuka hati tetapi ada prosedur dan syarat-syaratnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Pengisytiharan Majlis Bandaraya Seberang Perai di Kepala Batas, Pulau Pinang pagi tadi.

Zuraida berkata, jika industri perumahan beku akan memberi kesan kepada 140 industri hiliran yang berkaitan dengan pembangunan serta industri perumahan.

Katanya, sudah tiba masa kementeriannya berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Dalam Negeri bagi meneliti pakej skim MM2H untuk mencari mekanisme perlaksanaan cadangan berkenaan.

Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) bimbang cadangan untuk menarik pembeli dari China bagi menyelesaikan isu lambakan rumah tidak terjual bakal memberikan kesan tidak baik.

Usaha kerajaan itu dikhuatiri akan menggalakkan pemaju membina lebih banyak hartanah mewah pada masa akan datang dan mengabaikan peranan menyediakan kediaman pada harga berpatutan kepada rakyat.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments