Sedia timbang jika Azmin mahu sertai PPBM – Tun M

TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, PPBM bersedia membuat pertimbangan sekiranya Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berminat untuk menyertai parti itu.

Respon itu menyusul ketika cakap-cakap bahawa Mohamed Azmin lebih menjadi pilihan Dr Mahathir sebagai pengganti berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali bertiup.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu ketika ditanya pemberita berhubung perkara itu berkata, belum ada permohonan daripada Ahli Parlimen Gombak itu.

“Kalau ada permohonan dibuat, sudah tentu kita akan pertimbangkan,” katanya kepada pemberita.

Spekulasi kembali timbul apabila Mohamed Azmin sering dilihat menghadiri program-program PPBM termasuk ketika sambutan ulangtahun ketiga parti itu baru-baru ini.

Ditanya mengenainya, Dr Mahathir berkata, selain Mohamed Azmin, terdapat beberapa lagi pemimpin dari parti lain dijemput menghadiri program PPBM.

Mohamed Azmin sebelum ini berdepan kritikan dari partinya sendiri kerana sudah lama tidak menghadiri sebarang mesyuarat PKR.

Selain itu, timbul juga spekulasi bahawa Anwar tidak akan dipilih menjadi pengganti Dr Mahathir walaupun dinafikan pemimpin veteran berusia 94 tahun itu.

Mohamed Azmin sebelum ini memberi penghargaan kepada UMNO dan PAS kerana menyokong supaya Dr Mahathir terus menerajui kepimpinan negara sehingga habis mandat PRU-14.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments