PH jangan cuba lebih Melayu dari UMNO, lebih Islam dari PAS – Kit Siang

SUPREMO DAP, Lim Kit Siang hari ini mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya tidak cuba menjadi “lebih Melayu daripada UMNO dan lebih Islam daripada PAS” bagi menghadapi penyatuan kedua-dua parti terbesar orang Melayuu itu.

Kit Siang berkata, PH akan menghadapi kegagalan jika cuba berbuat demikian kerana taktik itu akan meminggirkan 5.5 juta penyokong daripada kaum lain yang mengundi memilih mereka jadi kerajaan dalam pilihan raya umum tahun lalu.

PH kata Ki Siang, harus melaksanakan agenda Malaysia Baru dan memenangi 2.5 juta pengundi yang menyokong UMNO dan dua juta pengundi PAS dalam pilihan raya 9 Mei itu.

“Sekiranya kerajaan PH tidak mengambil langkah itu, sebaliknya terus dipandu oleh 5 janji teras manifestonya dalam pilihan raya umum ke-14, kerjasama UMNO-PAS akan ambruk dari dalam, hatta sebelum pilihan raya umum ke-15 akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Kit Siang memberi amaran bahawa kerjasama PAS-UMNO akan memburukkan lagi “politik toksik kaum dan agama” ke paras yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Beliau juga membidas komponen Barisan Nasional (BN), iaitu MCA dan MIC, kerana merestui kerjasama itu.

“Ini berlaku walaupun MCA sebelum ini mengugut untuk “menendang” UMNO keluar daripada BN jika ia “mesra dengan PAS”.

Menjelang acara bersejarah itu, MCA berkata, ia “bersetuju dan menghormati” apa-apa kerjasama antara parti pembangkang di Malaysia selagi ia selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan menjunjung kesederhanaan.

MCA juga menghantar wakil ke majlis menandatangani piagam kerjasama antara PAS dan Umno itu atas semangat BN dan “bagi memastikan perhimpunan tersebut akur kepada nilai kepelbagaian budaya dan kesederhanaan”.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments