Pensyarah UiTM ditemui mati di rumah sewa

SEORANG pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban 3, ditemui mati dalam rumah sewanya di kawasan perumahan Suriaman 3, Bandar Sri Sendayan, Seremban, petang semalam.

Mayat Badrul Azmier [email protected], 43, yang juga seorang pensyarah Sains Politik, ditemui kira-kira jam 6.30 petang.

Penemuan itu ekoran seorang jiran menghidu bau busuk dari rumah lelaki berkenaan lalu menghubungi pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, pensyarah yang masih bujang itu dipercayai sudah meninggal dunia dua hingga tiga hari lalu berdasarkan keadaan mayatnya yang mereput.

“Jirannya seorang lelaki yang menghidu bau busuk bertindak menghubungi pihak polis sebelum sepasukan polis tiba di lokasi kejadian, namun mendapati rumah itu berkunci dari dalam.

“Polis kemudian meminta pengawal keselamatan untuk menghubungi waris pensyarah berkenaan sebelum kakaknya yang berusia 40-an tiba dan membuka pintu rumah,” katanya hari ini.

Mohd Said berkata, polis menemui mayat pensyarah berkenaan terbaring di atas katil dalam bilik utama dalam keadaan hanya memakai seluar.

Beliau berkata, mayat berkenaan kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini, untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan polis di lokasi penemuan mayat dan hasil bedah siasat di HTJ mendapati tiada unsur jenayah berhubung kematian pensyarah itudan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Siasatan mendapati pensyarah itu tinggal berseorangan di rumah sewa berkenaan.

“Mayatnya dituntut oleh ahli keluarganya hari ini untuk dikebumikan di Melaka,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments