PAS dapat ‘sijil nikah’ selepas lama ‘bersekedudukan’, sindir Khalid

PENGARAH Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN), Khalid Samad menyindir bekas partinya, PAS yang disifatkannya baru mendapat sijil nikah dengan penyatuan rasmi bersama UMNO hari ini selepas lama “menjalinkan hubungan sulit.”

Bercakap kepada media dalam satu program hari ini, Khalid yang juga bekas pemimpin PAS berkata, pendirian parti itu hari ini tidak sama dengan kepimpinan Allahyarham Ustaz Fadzil Noor dan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

“Hubungan sulit yang disorok sebelum ini kini diisytihar secara terbuka. (Dulu) PAS bersekedudukan dengan parti perkauman Melayu.

“Mungkin hari ini tandatangan (MoU) dapat sijil nikahnya, Wallahualam. PAS wajah baru ingin bersama UMNO sejak 2013. Keluar dari Pakatan Rakyat, PAS mula mempunyai hubungan terbuka dengan UMNO,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam majlis dialog dengan pengamal media di Pulse Grande Hotel di Putrajaya hari ini.

Khalid menjelaskan PAS pada masa ini sudah mengalami perubahan apabila hanya menekankan soal Melayu dan Islam berbeza dengan pendirian sebelum ini yang berpegang pada prinsip PAS untuk semua.

“Betapa janggal slogan PAS untuk semua kerana mereka yang bawa slogan itu sudah keluar dari PAS dan berada dalam PAN.

“Sebab apa? PAS ingin berdamai dengan UMNO atas semangat Melayu Islam,” tambahnya lagi.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments