1,000 MyKad dijual kepada warga asing dalam tempoh hanya 5 bulan

SINDIKET menjual MyKad sah yang dibongkar di Pulau Pinang baru-baru ini sudah menjual lebih 1,000 dokumen berkenaan kepada warga asing hanya dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Angka itu tidak termasuk jumlah MyKad yang dijual sindiket berkenaan pada tahun-tahun sebelumnya.

Lebih mengejutkan, wanita warga China yang ditahan ketika cuba memperbaharui pasport menggunakan MyKad di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang baru-baru ini rupa-rupanya tidak datang bersendirian.

Sebaliknya, dia datang dengan sekumpulan lagi warga China yang ingin memperbaharui pasport tetapi melarikan diri selepas melihat rakan mereka ditahan kerana dilihat dalam keadaan meragukan tidak tahu langsung berbahasa Melayu.

Laporan Harian Metro yang memetik sumber memberitahu, selepas wanita warga China berkenaan gagal memperdaya anggota dan pegawai yang bertugas bagi mendapatkan pasport, semua wanita yang datang bersamanya melarikan diri.

“Kumpulan wanita yang melarikan diri ini adalah antara 1,000 warga asing yang masih berada di dalam negara dan sedang mencari jalan untuk keluar atau terus bermaustautin di negara ini,” katanya.

Kumpulan wanita yang berjaya melarikan diri itu katanya, dipercayai akan mencuba nasib memohon pasport di cawangan JIM lain seluruh negara.

Sumber berkata, sindiket akan menyediakan runner bagi membantu memberi tunjuk ajar atau perantara antara mereka dengan pihak berkuasa.

Menurutnya, kejayaan memberkas 20 individu termasuk seorang pegawai di JPN Pulau Pinang kerana dipercayai terbabit dengan penjualan MyKad sah dan dokumen kelahiran baru-baru ini adalah permulaan kepada pendedahan yang lebih besar sindiket jenayah terancang ini.

Menurutnya, semua warga asing yang membeli MyKad sah ini bukan individu biasa, ia kerana wanita warga asing yang diberkas pada 16 Mei lalu mampu menyewa sebuah pangsapuri dengan harga hampir RM100,000 satu malam.

“Mereka mempunyai niat tidak baik di negara ini dan menjadikan Malaysia sebagai tempat menjalankan operasi haram.

“Selepas memiliki MyKad dan pasport Malaysia mereka bebas bergerak dan melarikan diri jika diburu pihak berkuasa menggunakan identiti lain,” katanya.

Semalam lelaki bergelar Datuk, pegawai kerajaan, anak dan bapa mentua antara enam individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown, kelmarin atas 32 pertuduhan membabitkan aktiviti penjualan MyKad dan dokumen pengenalan sah kepada warga asing.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments