Dua hari selepas arwah ‘pergi’, baru tahu dia tinggalkan ‘pengganti’

BALU Pegawai Komando 11 Rejimen Gerup Gerak Khas, Mejar Mohd Zahir Armaya terkilan tidak dapat berkongsi kegembiraan dengan Allahyarham selepas mendapati dirinya disahkan hamil satu bulan.

Nour Shafinar Harun, 31, memberitahu, dia yang baru mengetahui kehamilannya dua hari selepas insiden itu berlaku.

Menurutnya, meskipun gembira dengan kehamilan itu, dia sedikit terkilan kerana tidak sempat berkongsi berita gembira itu bersama suaminya.

Pada mulanya dia juga tidak menyangka mengandung kerana menganggap keadaan fizikalnya keletihan disebabkan apa yang dihadapi selain mengamalkan diet.

“Dua hari (selepas) arwah tiada, ada kawan yang kenal saya bertanya, mengandung ke?

“Saya terkejut, betul ke saya mengandung, sebab dalam sebulan lebih kebelakangan ini, saya tidak buat pemeriksaan, saya rasa biasa saja.

“Tetapi tengok keadaan badan memang rasa naik, berat badan naik, makan pun tak berapa banyak sebab sedang diet, sampailah doktor dan kaunselor datang jumpa saya dan dia bertanya kenapa badan berisi dan kemungkinan mengandung,” katanya.

Nour Shafinar ditemui selepas menerima kunjungan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, yang berkenan ke kediaman ibunya di Taman Perpaduan Ulu Kinta, Ipoh, Perak hari ini.

Beliau mengakui agak bimbang sekiranya situasi semasa akan memberi kesan kepada keadaan dirinya dan menjejaskan kandungan.

“Setakat ini saya belum buat apa-apa pemeriksaan lengkap, jadi saya tak tahu keadaan semasa saya bagaimana, takut juga jika jadi apa-apa,” katanya.

Jelasnya, dia bersama tiga anak, Muhammad Irfan Daniel, 10, Nur Adriana, 6, dan Izzul Zakly berusia 6 bulan, tetap dengan keputusan untuk berpindah ke Ipoh sepertimana amanat terakhir diminta Allahyarham.

“Permintaannya untuk kami balik ke Perak saya tunaikan, kami hanya ada keluarga, untuk diri saya dan anak-anak akan datang saya tak tahu lagi caranya bagaimana,” katanya.

Mohd Zahir, 36, pegawai komando daripada 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia pada 4 September lalu selepas terkena tembakan ketika melakukan aksi demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments