PAS jadi kafir kerana bekerjasama dengan UMNO – Tun M

PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara sinis menyifatkan PAS sudah menjadi sebuah parti kafir kerana bekerjasama dengan UMNO melalui pemeteraian piagam antara kedua-dua parti Sabtu ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, PAS perlu ingat bahawa parti itu pernah mengkafirkan UMNO dan ahli-ahlinya dan perkara itu tidak pernah ditarik balik sehingga hari ini.

Sehubungan itu, kata perdana menteri, kerjasama itu tidak akan memberi sebarang makna.

“Tak jadi apa (kerjasama UMNO-Pas). UMNO ini kafir, Pas kata dahulu. Apabila Pas bekerjasama dengan UMNO yang dikatakan kafir, maka Pas pun akan jadi kafir.

“Sebabnya, Pas tidak pernah menarik balik kenyataan itu… Masih ada, amanat Hadi kata UMNO kafir masih belum ditarik balik sehingga hari ini.

“Kalau Pas tidak mahu jadi kafir, buatlah satu kenyataan kata kami minta maaf kerana pernah mengatakan UMNO kafir. Tarik balik secara rasmi, barulah ada piagam,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Konvensyen Padi Kebangsaan 2019 di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Dr Mahathir diminta mengulas mengenai Piagam Muafakat Nasional antara Pas dan UMNO yang bakal dimeterai pada 14 September ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Program yang berlangsung selama dua hari dengan kemuncaknya pada 14 September itu bakal menyaksikan kedua-dua parti akan menandatangani piagam kerjasama UMNO dan Pas oleh kedua-dua Presiden parti berkenaan yang dilihat bakal mengukuhkan blok pembangkang dengan hasrat menjaga kepentingan orang Melayu dan Islam.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments