Hina kereta buruk pengusaha Grab Food, Fahmi Fadzil mohon maaf

PEMIMPIN PKR, Fahmi Fadzil memohon maaf selepas ciapannya di Twitter yang dilihat menghina kedaifan kenderaan milik seorang pengusaha Grab Food.

Ekoran ‘tweet’ tersebut, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menerima kecaman orang ramai khususnya netizen yang menyifatkan ia sesuatu suatu jenaka yang melampau.

Fahmi berkata, setelah bermuhasabah diri, beliau mengakui tidak sepatutnya menulis jenaka tersebut di Twitter.

“Petang tadi (semalam) saya telah tulis satu tweet mengenai keadaan sebuah kereta yang saya temui.

“Setelah meneliti maklum balas dan komen-komen warganet, dan setelah muhasabah dan berfikir panjang, saya akui tweet tersebut tidak patut saya tulis dan ingin memohon maaf.

“Seharusnya saya lebih sensitif,” kata Fahmi melalui Twitter semalam.

Terdahulu, Fahmi menerusi Twitternya menulis satu jenaka, yang kononnya memaparkan perbualan antara beliau, bersama dua yang lain.

Tweet tersebut berbunyi:

A: Kereta ni macam kereta perang.

B: “Cukup sifat ni”

Me: Ni bukan cukup sifat. Ni cukup syarat je ni.

Seorang pengguna Twitter menegur Fahmi dan mengatakan kereta tersebut adalah milik rakannya yang susah dan perlu menyara kedua ibu bapanya.

“Itu kereta kawan saya. Dia kerja sebagai pemandu Grab Food dan menjaga kedua ibu bapanya. Kami tahu gaji YB sangat tinggi, tapi tolonglah jangan gelakkan kepada orang lain yang susah, YB,” kata individu berkenaan.

Ekoran itu, ciapan itu telah dipadamkan oleh Fahmi yang juga pengarah komunikasi PKR.

Tweet Fahmi itu menerima pelbagai reaksi netizen, yang rata-rata menyifatkan jenaka berkenaan sebagai penghinaan kepada pemilik kereta tersebut.

Meskipun selepas meminta maaf, Fahmi terus dihujani kritikan dan kecaman daripada netizen.

“Baru setahun lebih dah out of touch dengan rakyat. Macam ni nak pegang lebih daripada satu penggal. Pejuang rakyat tak tunggu musim PRU je nak buat kerja, nak acah-acah faham kesusahan rakyat. Luar musim PRU, gelakkan orang susah,” kata seorang pengguna Twitter.

“Jangan jadi YB cukup syarat. Pergilah merdekakan rakyat,” komen satu lagi pengguna Twitter lain.

Permohonan maaf Fahmi itu turut menerima reaksi daripada seorang pengarah, Al Jafree Md Yusop yang mengatakan jenaka tersebut tidak kena pada tempatnya.

“Dia dah minta maaf pasal tweet ni. Cuma yang aku musykil apa yang dia fikirkan masa dia post tweet ni?

“Ini cara YB buat lawak ke? Tak betul cara lawak ni. Ramai orang tengah susah sekarang,” katanya di Facebook.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments