[Video] Penyokong Malaysia disambut ‘hujan batu’, maki hamun di Jakarta

PENYOKONG Harimau Malaya yang tiba di kota Jakarta disambut “hujan batu” serta maki hamun jeritan penyokong Indonesia ketika memasuki Stadium Utama Gelora Bung Karno.

Mereka yang tiba bagi memberi sokongan kepada anak buah Tan Cheng Hoe bagi perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang skuad Indonesia malam ini ternyata “tidak dialu-alukan”.

Menerusi video yang dimuat naik menerusi Twitter Vocketfc, beberapa penyokong Malaysia memaklumkan keadaan di luar stadium tidak terkawal sejak kumpulan itu tiba kira-kira pukul 4 petang.

Video tersebut kemudiannya tular dan dikongsi beberapa laman page penyokong Malaysia yang mengecam perbuatan berkenaan.

Ultras Garuda attack Ultras Malaya👊

Posted by Kami Anak Perak on Khamis, 5 September 2019

NMP bagaimanapun difahamkan, keadaan keadaan di dalam stadium adalah terkawal dan tidak berlaku sebarang pergelutan antara penyokong dua negara berjiran itu.

“Keadaan dalam stadium selamat,” kata beberapa penyokong Malaysia menerusi Twitter sambil memaklumkan tiada kecederaan berlaku.

Difahamkan pihak berkuasa membuat kawalan keselamatan yang ketat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Aksi membabitkan Malaysia dan Indonesia yang sering kali “panas”, antaranya insiden pada final pertama Piala AFF 2010 yang menyaksikan pemain Malaysia terpaksa menaiki kereta perisai Barracuda untuk ke stadium dan pulang ke hotel, selain insiden sama berulang pada Sukan SEA 2011.

Malah, pada aksi Kejuaraan Bawah 19 tahun (B-19) pada 2018, pemain negara diserang penyokong tuan rumah yang membaling botol minuman dan batu selepas mereka tewas 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti pada peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, insiden lalu jelas memberi pengajaran kepada Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dengan Setiausaha Agungnya, Ratu Tisha Destria memberi jaminan keselamatan kepada pasukan negara yang akan mendapat sambutan baik untuk mengharungi perlawanan di Stadium Utama Gelora Bung Karno.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments