Ekonomi orang Cina terlalu kuat untuk diboikot – Anwar

EKONOMI orang Cina itu terlalu kuat untuk diboikot secara kecil-kecilan, tegas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, tindakan memboikot yang dilakukan segelintir pihak itu dilihat hanya bertujuan menakutkan kaum tersebut.

“Bukan dengan orang Cina sahaja dengan orang India yang sikit pun nak telan dan orang Cina ditakutkan juga. Orang Melayu boikot sikit, kekuatan ekonomi Cina itu terlalu kuat untuk diboikot sikit-sikit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Siri Dialog Digital Native Agenda 23 (DNA23) sempena Minggu Mesra Siswa – Siswi UKM Sesi 2019/2020.

Yang turut hadir, Pengerusi UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Naib Canselor UKM, Prof. Ir. Dr. Mohd. Hamdi Abdul Shukor.

Sebelum ini Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menjelaskan, kempen memboikot barangan bukan Islam merupakan satu langkah yang tidak sihat dan boleh menimbulkan pertengkaran serta isu antara kaum.

Tegasnya, adalah penting untuk umat Islam mengeluarkan produk yang memudahkan umat Islam sekali gus diterima oleh semua kaum.

Akhir-akhir ini terdapat kempen dalam media sosial oleh segelintir pihak supaya memboikot barangan keluaran bukan Islam dan membeli produk keluaran bumiputera.

Bagaimanapun, pengendali kumpulan terbabit menafikan memboikot produk bukan Islam, sebaliknya berkempen bagi mengutamakan pembelian produk bumiputera.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini menyatakan tidak bersetuju dengan gerakan memboikot itu dan menyifatkan perkara berkenaan hanya dilakukan oleh mereka yang berfikiran cetek.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga Menteri Kewangan pula membidas kempen berkenaan sambil melemparkan kenyataan sinis supaya pihak terbabit turut memboikot telefon bimbit.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments