Paul Yong akhirnya akur, umum bercuti dari jawatan Exco

BENDAHARI DAP Perak, Paul Yong Choo Kiong yang berdepan tuduhan merogol pembantu rumahnya mengumumkan bercuti daripada tugasnya sebagai Exco Kerajaan Negeri Perak.

Paul Yong membuat keputusan itu walaupun sebelum ini menegaskan tidak akan bercuti setelah dinasihatkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Paul Yong berkata, beliau membuat keputusan itu untuk memberi tumpuan kepada perbicaraan agar dapat membersihkan namanya.

“Selepas membuat pertimbangan secara berhati-hati, saya memutuskan untuk bercuti daripada tugas rasmi sebagai exco kerajaan Perak.

“Saya merasakan perlu meletakkan kepentingan negeri lebih utama berbanding kepentingan peribadi saya, seperti yang telah saya lakukan sepanjang kerjaya sebagai ahli politik.

“Saya akan sampaikan keputusan saya ini kepada Menteri Besar hari ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Jumaat lalu, Paul Yong yang juga Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Paul Yong didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa warga Indonesia berusia 23 tahun antara 8.15 malam hingga 9.15 malam 7 Julai lalu di sebuah bilik di tingkat atas rumah di Desa Meru 2, Meru Desa Park, Meru Raya.

Sementara itu, Paul Yong berkata, beliau akan meneruskan khidmat sebagai ADUN Tronoh seperti biasa.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments