Paul Yong enggan bercuti, tolak nasihat Menteri Besar

EXCO Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong yang dihadapkan ke mahkamah hari ini atas tuduhan merogol pembantu rumahnya menolak nasihat Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu supaya beliau bercuti.

Paul Yong yang juga Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak menegaskan, beliau masih tidak dibuktikan bersalah.

Ketika ditanya pemberita di luar mahkamah mengenai nasihat Ahmad Faizal supaya beliau berhenti daripada tugas sehingga kesnya selesai, Paul Yong berkata: “Mengapa saya mahu berhenti?”

“Saya masih lagi exco kerajaan negeri. Saya mewakili rakyat!”

“Apa sebab saya mahu bercuti?” soalnya kembali kepada pemberita.

Paul Yong berkata, beliau akan terus berkhidmat sebagai biasa dengan alasan mengambil kira “mandat rakyat” kepadanya.

Hari ini Paul Yong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia 7 Julai lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan meminta untuk dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Paul Yong didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa warga Indonesia berusia 23 tahun antara 8.15 malam hingga 9.15 malam 7 Julai lalu di sebuah bilik di tingkat atas rumah di Desa Meru 2, Meru Desa Park, Meru Raya.

Mengulas lanjut, Paul Yong yang juga Bendahari DAP Perak menegaskan, tiada sesiapa boleh dikatakan pesalah selagi tidak diputuskan mahkamah.

Ahmad Faizal semalam menasihatkan Paul Yong bercuti daripada tugas rasmi kerana bakal berdepan tuduhan merogol itu, “bagi menghormati proses undang-undang”.

Beliau menasihatkan Yong tidak mengambil bahagian dalam mesyuarat yang melibatkan proses membuat keputusan, sehingga proses perbicaraan selesai.

Pada masa sama, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri menghormati prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments