Kes rogol: DAP dakwa lelaki dibayar RM100,000 untuk bawa amah buat laporan polis

PEMIMPIN DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham mendakwa seorang lelaki telah dibayar sebanyak RM100,000 untuk membawa pembantu rumah Indonesia membuat laporan polis bahawa dia dirogol oleh seorang exco kerajaan negeri.

Koo Ham yang juga Speaker DUN Perak mendakwa, maklumat itu diperolehinya selepas bersemuka sendiri dengan lelaki berkenaan kira-kira jam 6 petang pada khamis.

Kenyataan Koo Ham itu muncul beberapa jam selepas laporan media bahawa Exco kerajaan negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong akan didakwa di mahkamah pada Jumaat berhubung kes merogol pembantu rumahnya.

“Saya berjumpa sendiri secara bersemuka dengan lelaki berkenaan dengan kehadiran beberapa wakil rakyat.

“Dia (lelaki) memberitahu dia menerima RM100,000 dan diugut oleh seorang lelaki dengan pistol supaya tidak memberitahu perkara itu kepada sesiapa,” kata Koo Ham selepas membuat laporan polis di Pejabat Polis Daerah Ipoh hari ini.

Dengan perkembangan terbaru itu, kata Koo Ham, pihaknya mahu pihak polis membuat siasatan terperinci.

Paul Yong sebelum ini disiasat atas dakwaan merogol pembantu rumahnya berusia 23 tahun yang juga warga Indonesia di rumahnya di Meru, Ipoh.

Paul Yong ialah exco bagi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru dan merupakan bendahari DAP Perak.

Kes tersebut mendapat perhatian umum apabila wujud dakwaan siasatan ke atas Paul Yong dilengah-lengahkan, malah pemimpin DAP itu tidak dikenakan tahanan reman yang biasa dikenakan kepada suspek rogol.

Beberapa pihak sebelum ini menyatakan rasa terkejut apabila timbul dakwaan bahawa laporan pemeriksaan perubatan tidak disertakan dalam kertas siasatan yang dihantar kepada pejabat pendakwaraya.

Media hari ini melaporkan Paul Yong akan didakwa di mahkamah pada Jumaat.

Koo Ham berkata, dengan pendedahan itu, pihaknya percaya Paul Yong adalah mangsa konspirasi politik untuk menjatuhkannya.

“Kami hanya akan membawa lelaki ini pada waktu siasatan polis.

“Kami akan ‘melindungi’ lelaki tersebut dan berharap kebenaran akan muncul,” ujarnya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments