Kes rogol: Exco DAP Perak akan didakwa esok – laporan

PEMIMPIN DAP yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang berdepan tuduhan merogol pembantu rumahnya dilaporkan akan dituduh di mahkamah esok.

Portal theedgemarkets.com yang memetik sumber melaporkan, Paul Yong, 49, dituduh merogol pembantu rumahnya berusia 23 tahun yang juga warga Indonesia di rumahnya di Meru, Ipoh.

Kes tersebut sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Paul Yong ialah exco bagi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru.

Dia juga bendahari DAP Perak.

Kes tersebut mendapat perhatian umum apabila wujud dakwaan siasatan ke atas Paul Yong dilengah-lengahkan, malah pemimpin DAP itu tidak dikenakan tahanan reman yang biasa dikenakan kepada suspek rogol.

Beberapa pihak sebelum ini menyatakan rasa terkejut apabila timbul dakwaan bahawa laporan pemeriksaan perubatan tidak disertakan dalam kertas siasatan yang dihantar kepada pejabat pendakwaraya.

Polis bagaimanapun menafikan laporan perubatan tersebut hilang.

Pejabat Peguam Negara juga menjadi sasaran kritikan kerana didakwa melengah-lengahkan pendakwaan walaupun kertas siasatan sudah diserahkan kepada polis.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments