Polis keluar arahan larang Dr Zakir Naik ceramah di seluruh negara

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melarang pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik daripada menyampaikan ceramah awam di seluruh negara.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Datuk Asmawati Ahmad yang mengesahkan larangan itu berkata, ia dilakukan “demi keselamatan negara”.

Serentak itu, arahan berkenaan sudah dimaklumkan kepada semua kontinjen polis di seluruh negara.

“Arahan itu telah dikeluarkan kepada kesemua kontinjen polis di seluruh negara dan dilakukan demi keselamatan negara dan memelihara keharmonian kaum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, tujuh negeri telah melarang ceramah oleh pendakwah tersebut, antaranya Melaka, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Sarawak.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Ahad lalu berkata, penceramah itu telah melampaui batas apabila menyentuh mengenai kaum Cina dan India di dalam dua ceramahnya.

Dr Mahathir berkata, status penduduk tetap (PR) yang diberikan kepada pendakwah itu juga sedang dalam pemerhatian.

Zakir kini sedang disiasat polis di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.

Semalam, penceramah itu selesai memberi keterangan kali kedua kepada polis selepas hampir 10 jam di Bukit Aman.

Jumaat lalu, Zakir memberi keterangan kali pertama kira-kira lima jam di Bukit Aman untuk membantu siasatan berhubung perkara itu.

Zakir dalam ceramahnya di Kota Bharu, pada 3 Ogos lalu dilaporkan membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia.

Bagaimanapun, penceramah terkenal itu mendakwa, kenyataannya diambil di luar konteks dan dipetik secara berpilih sehingga menimbulkan salah faham.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments