Tiga mesin ATM bank diletupkan, tompokan darah perompak ditemui

SEKUMPULAN perompak dipercayai meletupkan tiga mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan melarikan wang tunai RM300,000 dari sebuah bank di Jalan Haji Mustaffa Raja Kamala, Mualim, awal pagi ini.

Berdasarkan keadaan di tempat kejadian, ketiga-tiga mesin itu dipercayai diletupkan menggunakan bahan letupan.

Pintu kaca hadapan bank berkenaan turut didapati pecah dan terdapat kesan tompokan darah dipercayai darah perompak akibat terkena kaca cermin terbabit. di lokasi kejadian.

Saksi di tempat kejadian melihat beberapa individu masuk ke tuang ATM sejurus letupan berlaku.

Mereka dilihat mengambil peti wang dan melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, pihak bank memaklumkan sudah memasukkan wang berjumlah RM300,000 petang semalam, ke dalam kesemua mesin ATM berkenaan.

Katanya, siasatan awal polis di lokasi kejadian mendapati tiga mesin ATM rosak dipercayai diletupkan perompak dan kesemua wang di dalam mesin berkenaan dilarikan.

“Polis turut menemui cecair bahan kimia di kawasan parkir dipercayai bahan yang digunakan untuk meletupkan mesin ATM itu. Terdapat tiga kesan tompokan darah dipercayai milik suspek yang terkena kaca cermin.

“Jumlah kerugian sebenar belum dipastikan lagi dan polis sedang menunggu unit forensik menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments