Selangor bergolak: Amirudin Shari bakal digulingkan?

PERGOLAKAN dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor dilaporkan semakin memuncak apabila wujud gerakan untuk menggulingkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk digantikan oleh ADUN Ijok, Datuk Idris Ahmad.

Laporan FMT memetik sumber sebagai berkata, pihak yang merancang menggulingkan Amirudin mendakwa mempunyai majoriti mencukupi untuk mengangkat Idris Ahmad sebagai menteri besar Selangor.

“Setakat ini, Idris cukup sokongan untuk diangkat sebagai menteri besar, Adun PKR yang pro-Mohamed Azmin Ali memang tidak sokong Idris dan menyokong Amirudin.

“Adun DAP boleh dikatakan secara keseluruhan sokong Idris, 4 Adun PPBM masih berbelah bahagi dan pihak Amanah pula setakat ini ramai bersetuju dengan Idris,” katanya dipetik portal berkenaan.

PKR mempunyai 28 kerusi, DAP (13), Amanah (5), PPBM (4), Barisan Nasional (5) dan PAS (1) daripada keseluruhan 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Pergolakan politik di Selangor bermula apabila Amirudin cuba meminda enakmen negeri yang mewajibkan remaja 18 tahun ke bawah perlu mendapat kebenaran “ibu dan bapa” sebelum memeluk Islam, kepada “ibu atau bapa”.

Ia disusuli usaha menggulingkan Amirudin atas dakwaan Adun Sungai Tua itu tidak mampu memimpin Selangor dan beliau cuba menyingkirkan Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim.

Suee semalam menangguhkan sidang DUN sebelum rang undang-undang penukaran agama kepada Islam sebelah pihak dibentangkan oleh Amirudin.

RUU itu dikatakan mendapat sokongan istana atas saranan Majlis Agama Islam Selangor.

Idris dikatakan ADUN paling berpengalaman dan sesuai menjadi menteri besar, serta didakwa mendapat restu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Amirudin yang dikenali sebagai orang timbalan presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula dikatakan hanya mempunyai sokongan 13 Adun PKR, manakala wakil rakyat Amanah dan PPBM masih berbelah bagi.

Jun tahun lalu, Idris antara ADUN Selangor yang disebut-sebut akan menggantikan Azmin selepas beliau menerima pelantikan sebagai menteri hal ehwal ekonomi.

Hari ini, sumber yang dekat dengan PKR mendakwa setakat ini, majoriti ADUN Selangor sepakat memilih Idris dan nama lain akan dipertimbangkan sebagai alternatif, jika pihak istana menolak Idris.

“Setakat ini, kita hanya tetapkan satu nama, iaitu Idris untuk diangkat kepada Tuanku, tidak ada nama lain. Kecuali apabila pihak Istana tidak bersetuju, baru kita cadang nama lain, tapi majoriti sepakat memang hanya satu nama setakat ini.”

Sementara itu, seorang exco kanan, Haniza Talha menyifatkan cubaan menggulingkan Amirudin sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.

Katanya, isu peralihan kuasa menteri besar tidak dibincangkan ADUN dan exco Selangor kerana hubungan mereka kini dalam keadaan baik.

“Saya rasa ini cubaan pihak yang tidak bertanggungjawab mahu ambil kesempatan. Kita sekarang sibuk memberi fokus untuk pembangunan negeri.

“Dalam kalangan Adun PH dan exco sendiri, tiada apa-apa isu. Kami sekarang sedang fokus untuk Belanjawan negeri. Saya harap pihak yang cuba memainkan isu ini berhenti dan fokus kepada pembangunan kawasan masing-masing yang telah diamanahkan.”

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments