Pemimpin Bersatu mengaku jual 2 lembu korban untuk beli komputer

KEPIMPINAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bagan Datuk ‘bergoncang’ gara-gara satu laporan kepada SPRM berhubung tindakan tiga pemimpin parti tersebut yang didakwa menjual 2 ekor lembu yang sepatutnya diagihkan kepada penduduk sempena Aidiladha tahun lalu.

Anggota jawatankuasa (AJK) Bersatu Bagan Datuk, Bahaman Tokiran mendakwa, ketiga-tiga pemimpin itu menjual dua daripada tiga ekor lembu sumbangan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Faizal Azumu bagi membeli komputer riba dan mesin pencetak.

Hanya seekor sahaja diagihkan kepada masyarakat setempat, dakwanya seperti dipetik portal Malaysiakini.

Dalam laporannya kepada SPRM, Bahaman menamakan ketua bahagiannya Abdul Malik Karim, timbalannya Mohd Robion Bandi @ Ali Bandi dan naib ketua Zul Azni Kamirin.

“Kami mendapat maklumat sepatutnya tiga ekor lembu yang diberikan menteri besar Perak, Ahmad Faizal Azumu kepada Abdul Malik telah diseleweng.

“Dua ekor lembu itu dijual oleh timbalan dan naib ketua bahagian Bersatu Bagan Datuk dan mereka mengambil duit itu.

“Jumlah dua ekor itu dianggarkan dijual RM5,000 seekor. Hanya 1 ekor lembu saja diagihkan ketua Bersatu bahagian Bagan Datuk.

“Saya juga salah seorang penduduk di Bagan Datuk terkilan dengan tindakan tiga pemimpin itu yang melanggar hukum syariah Islam,” katanya dipetik.

Dalam laporan itu, Bahaman turut menyerahkan audio perbualan telefon dan mesej WhatsApp didakwa antara timbalan serta naib ketua bahagian itu.

Diajukan pertanyaan kenapa baru membuat laporan itu sedangkan perkara itu sudah berlaku setahun yang lalu, Bahaman berkata perkara itu diambil memandangkan bantuan sama diberikan lagi tahun ini.

“Baru-baru ini saya dapat maklumat yang menteri besar Perak ada memberi peruntukan lima ekor lembu pada ketua bahagian yang sama.

“Jadi, dari itu saya mengambil keputusan untuk membuat laporan agar tidak akan berulang dan mereka-mereka yang terlibat menerima hukuman atas salah laku mereka,” katanya.

Mengaku jual lembu

Sementara itu, Abdul Malik yang dipetik portal berkenaan mengaku menjual dua ekor lembu tersebut.

Namun, katanya, tindakan itu dibuat kerana Bersatu kawasan itu tidak mempunyai dana bagi membeli komputer dan membayar bil di premis mereka.

“Sewaktu kami mula-mula buka pejabat dulu, komputer tak ada, yang ada cuma kerusi dan meja. Jadi bila nak buat kerja tu, tak boleh buat kerja jadi bendahari waktu tu tidak mencadangkan tapi dia kata susah bila tidak ada komputer mahu buat kerja.

“Jadi bila jual lembu tu, duit tu diserah kembali kepada bendahari, jadi bendahari yang pergi beli komputer tu dan komputer itu masih ada di pejabat (kami).

“Lembu dijual sekitar RM5,000 seekor, harga komputer RM3,000 lebih dan selebihnya bayar pejabat, bil elektrik, air.

“Kami tidak digunakan duit itu untuk tujuan peribadi,” katanya yang menambah sehingga kini beliau menanggung bil-bil premis itu.

Abdul Malik berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada Bersatu negeri berkaitan tindakan tersebut.

Pihaknya juga bersedia memberi kerjasama kepada SPRM berkaitan laporan berkenaan.

“Tak ada masalah, saya akan bagi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM,” katanya.

Sementara itu, Mohd Robion pula mengakui tindakan itu salah dari segi undang-undang namun ketika itu Bersatu Bagan Datuk terdesak dari segi kewangan.

“Memang ada jual dua ekor, pejabat Bersatu ketika itu tidak ada komputer, sewa tak berbayar, bil elektrik dan air tertunggak berbulan-bulan jadi sebab itulah.

“Bila SPRM panggil nanti saya akan cakap perkara sama. Saya mengakui benda tu salah dari segi undang-undang tapi bila dah berlaku, nak buat macam mana, terima sahajalah, saya tunggu kalau SPRM panggil saya akan pergi dan bagi penjelasan,” katanya.

Beliau juga sedia menerima sebarang tindakan termasuk dipecat daripada jawatannya sekarang.

“Kalau dipecat saya reda,” katanya.

Difahamkan, bagi sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini, Bersatu kawasan itu menerima lima ekor lembu sumbangan daripada Ahmad Faizal untuk diagihkan kepada masyarakat setempat.

Difahamkan, Bersatu pusat akan memanggil ketiga-tiga pemimpin tersebut bagi mendapatkan penjelasan berkaitan perkara tersebut.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments