Ahli perniagaan maut ditembak lelaki bermotosikal

SEORANG ahli perniagaan maut selepas ditembak dalam kenderaannya oleh individu yang melepaskan lebih tiga das tembakan di Jalan Air Putih, Kuantan, Pahang awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 itu, mangsa berusia 63 tahun dikatakan duduk di kerusi pemandu di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima sebelum ditembak seorang individu bersenjatakan pistol.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan yang mengesahkan kejadian berkata, siasatan mendapati, kejadian berlaku selepas mangsa dan seorang rakannya baru pulang berhibur dari sebuah pusat hiburan.

“Ketika kejadian, mangsa baru tiba di sebuah rumah dan mahu keluar daripada kenderaan sebelum ditembak.

“Pada ketika itu, rakan mangsa sudah lari dan menyembunyikan diri.

“Mangsa kemudian sempat memandu kenderaannya untuk mendapatkan rawatan di hospital sebelum tiba di hadapan sebuah farmasi dan tidak sedarkan diri,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, hari ini.

Abd Jalil berkata, orang ramai yang menemui mangsa kemudian membawanya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sebelum disahkan meninggal dunia.

Beliau berkata, siasatan pihaknya mendapati mangsa terkena tiga das tembakan di beberapa bahagian badan sebelum maut.

“Kita sedang siasat senjata digunakan suspek dan motif sebenar kejadian sama ada berkaitan gengsterism, dendam atau apa sahaja,” katanya.

Katanya, ekoran itu rakan mangsa berusia 47 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Mangsa dan rakannya berasal dari Johor Bahru dan tiba di Kuantan atas beberapa urusan sebelum mangsa ditembak di hadapan sebuah rumah,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments