Rusuhan kuil: Anggota polis cedera, orang awam putus tangan

SEORANG anggota polis cedera dan orang awam putus tapak tangan dalam satu rusuhan yang berlaku antara dua kumpulan bersenjatakan parang di sebuah kuil di Bestari Jaya, Sungai Darah di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kejadian sekitar pukul 9.15 malam itu menyebabkan seorang lelaki putus tapak tangan kiri dan dokejarkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Seorang anggota polis lelaki berusia 34 tahun dari Balai Bestari Jaya cedera di belakang tapak tangan kiri dan sudah dirawat dengan enam jahitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadzil memberitahu, susulan insiden itu, polis menahan 16 suspek dan merampas lima senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

“Sehingga kini polis masih mengesan suspek lain yang telah dikenal pasti,” katanya.

Sebelum rusuhan berlaku, satu perarakan Chariot (pedati berhias) diadakan di Kuil Kaliamma Bestari Jaya, Sungai Darah.

“Namun, berlaku pertengkaran antara dua kumpulan dengan bersenjatakan parang dipercayai berpunca daripada pergaduhan geng akibat tidak berpuas hati berkaitan pemasangan khemah.

“Polis yang bertugas ketika itu cuba mententeramkan keadaan dan membuat tangkapan namun telah juga diserang kemudiannya berjaya mengawal sepenuhnya di tempat kejadian,” katanya lagi.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments