Rompakan terancang 4 lelaki, barang kemas RM1j lesap dalam 5 minit

EMPAT lelaki bersenjatakan parang melarikan barang kemas bernilai RM1juta dalam satu rompakan cukup terancang yang mengambil masa kira-kira lima minit di Jalan Chin Hwa, Ipoh Perak awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, suspek yang menaiki ‘kepala lori’ bertindak merempuh kedua-dua kereta dinaiki dua pekerja berusia 30-an yang ditugaskan membawa barang kemas berkenaan ke Kelantan.

Selepas merempuh kenderaan terbabit, suspek melarikan empat beg yang mengandungi barang berharga berkenaan.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, berdasarkan siasatan dua pekerja terbabit menaiki kereta jenis pacuan empat roda Mitsubishi Pajero Sport dan Toyota Fortuner ditugaskan membawa barang kemas tersebut.

“Mereka membawa barang kemas dari rumah majikan berhampiran untuk pasaran di Kelantan. Ketika melalui jalan ini, kedua-dua kereta terbabit dilanggar oleh sebuah lori yang dinaiki dua suspek.

“Rempuhan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan tersebut remuk. Dua suspek lain menaiki kenderaan lain yang sedang dikenal pasti.

“Suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan tersebut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati lori berkenaan telah dilaporkan dicuri di Klang, Selangor hari ini.

“Salah seorang mangsa cedera akibat terkena serpihan kaca dalam insiden itu telah dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

“Kita akan meneliti rakaman kamera litar tertutup di sepanjang lokasi bagi mengenalpasti kenderaan yang terlibat dan semua elemen yang kita ada digerakkan untuk mengesan kesemua suspek,” katanya.

Anuar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments