Politik Malaysia kian stabil kerana kerajaan tunai janji – Guan Eng

GUAN Eng ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

MALAYSIA kini menjadi sebuah negara yang mempunyai keadaan politik yang stabil kerana Pakatan Harapan (PH) adalah kerajaan yang sentiasa memenuhi janji-janjinya, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, negara ini juga mempunyai kerajaan yang stabil kerana memiliki pemimpin seperti Tun Dr Mahathir, iaitu individu yang ada visi jelas mengenai masa hadapan.

“Beliau (Dr Mahathir Mohamad) selalu mengatakannya berulang kali dan saya mahu mengulanginya bahawa kami akan mengotakan janji kami,” katanya.

Guan Eng berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Seminar Cukai Kebangsaan 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Menurut beliau, kerajaan pada masa ini sedang menumpukan usaha mereformasikan institusi kerajaan yang dijangka selesai menjelang 2021.

Sebagai menteri kewangan, kata Guan Eng, beliau menerajui beberapa inisiatif untuk mereformasikan keadaan fiskal termasuk beralih daripada perakaunan berasaskan tunai kepada akrual.

Tambah beliau, antara inisiatif lain ialah pelaksanaan sistem tender terbuka untuk meningkatkan ketelusan sektor awam.

“Langkah ini dilakukan untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan selepas sekian lama mengalami penghakisan kepercayaan,” ujarnya.

Ketika ditemui pemberita, Guan Eng bagaimanapun enggan mengulas sama ada Dr Mahathir perlu menjadi perdana menteri sehingga habis penggal ini.

“Saya sebutkan dalam ucapan saya tadi bahawa dari segi ekonomi, kita yakin dapat mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Saya mahu ulangi bahawa keadaan politik Malaysia adalah stabil. Kita tidak ada masa untuk mewujudkan ketidaktentuan dalam politik kerana kita adalah kerajaan yang menunaikan janji,” katanya.

Kerajaan PH sebelum ini mencapai konsensus untuk melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan akan menyerahkan jawatan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh dua tahun.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin dalam PKR termasuk timbalannya, Datuk Seri Azmin Ali dan naib presiden, Zuraida Kamaruddin yang mahu Dr Mahathir terus menerajui negara sehingga tamat mandat lima tahun.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments