Kaligrafi Cina, Tamil sudah lama dilaksanakan di sekolah – NUTP

KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini berkata, seni tulisan jawi tidak wajar dijadikan isu memandangkan ia bersama seni kaligrafi Cina dan Tamil sudah lama dilaksanakan kepada murid Tahun 2 sejak 2011.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan berkata, pengenalan tulisan jawi adalah bertujuan untuk menerapkan nilai warisan bahasa Melayu dan identiti negara dan tidak wajar dibiar mengundang kontroversi.

“Untuk makluman murid telah mula mengenali seni tulisan jawi, seni tulisan Cina dan seni tulisan Tamil sejak Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dilaksanakan kepada murid Tahun 1 mulai tahun 2011 dan pada tahun 2015, dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun 5 untuk sekolah jenis kebangsaan di bawah tema ‘Menghargai Budaya Bangsa’,” katanya.

Harry berkata, tahun ini merupakan tahun semakan KSSR Tahun 4, justeru meminta supaya proses itu dibenarkan dijalankan oleh golongan profesional bagi mencari jalan supaya pembelajaran seni tulisan itu tidak membebankan murid di samping memupuk gaya penulisan yang indah.

Kenyataan Harry itu dipercayai merujuk kontroversi yang tercetus berhubung langkah Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan jawi dalam subjek bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah jenis kebangsaan baru-baru ini.

Selain pertubuhan pendidikan China Dong Zong dan Jiao Zong, lebih 130 pemimpin DAP baru-baru ini menandatangani memorandum membantah selain mendesak pemimpin parti itu yang berada dalam Kabinet menghalang pelaksanaannya.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik bagaimanapun mempertahankan langkah itu dengan berkata, ia bertujuan menerapkan nilai warisan bahasa Melayu sejajar dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan.

“Perancangan tulisan khat ini dilaksanakan melalui semakan semula kurikulum sejak 2014. Usaha ini juga melalui pelbagai sesi libat urus dengan pakar bahasa dan pendidikan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu Dong Jiao Zong berkata, ia tidak membantah usaha kerajaan melaksanakan interaksi kebudayaan antara pelbagai kaum, sebaliknya mempersoalkan kaedah yang digunakan oleh pihak kementerian dalam isu itu.

Berikutan mesyuaratnya hari ini Dong Jiao Zong meminta Kementerian Pendidikan menangguhkan pelaksanaan langkahnya itu.

Dalam satu kenyataan bersama dengan 10 kumpulan berkepentingan Tamil dan Cina lain ia berkata, kementerian perlu memberi penjelasan lanjut bahawa murid sekolah tidak akan menjalani ujian berdasarkan kemahiran menulis khat semasa peperiksaan walaupun ia dimasukkan dalam Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran (DSKP) dan sukatan pelajaran.

Pengerusi Jiao Zong, Ong Chiow Chuen, meminta kementerian berkenaan mendedahkan bahagian mana dalam silibus dan DSKP yang akan dipinda dengan memberi penjelasan lanjut tentang bagaimana tulisan jawi akan diperkenalkan di sekolah rendah Tamil dan Cina.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments