“Jika Zulfarhan masih hidup, saya nak sangat mohon maaf kepadanya”

SELEPAS dua tahun mengharungi dugaan perit sebagai Orang Kena Tuduh (OKT) Muhammad Akmal Akif Alias akhirnya menceritakan betapa dia terkilan kerana tidak dapat memohon maaf kepada pegawai kadert laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Muhammad Akmal berkata, satu-satunya perkara yang ingin sangat dilakukannya ialah memohon maaf kepada Allahyarham kerana tidak dapat menyelamatkannya dalam kes dera yang mengejutkan negara.

“Seandainya arwah masih hidup saya nak sangat minta maaf dekat dia sebab tak dapat nak selamatkan dia.

“Tapi saya sentiasa doakan dia. Kalau kita doakan dia kat sana, saya percaya dia akan batu kita dekat sini, insyaAllah,” katanya dalam wawancara yang disiarkan portal mStar hari ini.

Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain

Untuk rekod, Akmal merupakan salah seorang pelajar yang membantu menulis dua surat layang bagi memaklumkan kepada pegawai dan pentadbir Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengenai keadaan Zulfarhan yang memerlukan rawatan.

Menurut laporan Bernama pada 28 2018, perkara itu dinyatakan oleh saksi pendakwaan Muhammad Aiman Aufa Asmadi Affendi – yang menulis surat tersebut – di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam wawancara itu, Muhammad Akmal menceritakan kecaman yang diterima dirinya dan keluarga.

“…Walaupun saya tidak bersalah, tetapi selagi ada title OKT ia bukanlah sesuatu yang mudah. Apa yang terjadi memberi kesan kepada saya dan keluarga.

“Lebih-lebih lagi abah saya. Dia merupakan bekas anggota polis. Jadi ada sesetengah yang pandang serong terhadap keluarga saya,” katanya seperti dipetik.

Bersyukur dengan keputusan mahkamah, dia berkata hanya berhubung dengan keluarga dan kawan rapat sejak dibebaskan.

Dia juga berharap orang ramai membaca perjalanan kes secara keseluruhan sebelum membuat penilaian.

“Tapi rata-rata netizen menilai sesuatu itu dari tajuk sahaja. Lagi bagus kalau mereka pergi sendiri ke mahkamah dan dengar sendiri bukannya dengar dari orang lain dan terus kecam,” katanya, yang bergiat dalam kegiatan persatuan dan berniaga kecil-kecilan sepanjang dua tahun ini.

Sejumlah 17 lagi pelajar UPNM diarahkan untuk membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Enam daripadanya didakwa membunuh dan bersubahat, manakala 12 lagi atas pertuduhan menyebabkan kecederaan.

Zulfarhan antara lain dilaporkan ditekap dengan seterika panas di dormitori UPNM pada 22 Mei 2017, selepas dituduh mencuri komputer riba.

Allahyarham meninggal dunia pada 1 Jun 2017 di Hospital Serdang. Dia dilaporkan mengalami lebam dan lecur di dada, tangan dan kaki.

Menceritakan hubungannya dengan arwah Zulfarhan, Muhammad Akmal berkata hubungan mereka amat baik.

“Dia tiada apa-apa masalah dengan saya. Bagi saya arwah memang baik. Walaupun kami lain-lain pengajian tapi bila subjek kami satu kelas dia banyak tolong saya.

Jelas Akmal, dia sedih kerana keluarganya turut dikecam dan terpaksa menanggung malu kesan peristiwa itu.

“Lebih-lebih lagi abah saya. Dia merupakan bekas anggota polis. Jadi ada sesetengah yang pandang serong terhadap keluarga saya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments