Bimbang ditimpa malang, pencuri sos tomato tulis surat mohon maaf

SEORANG pencuri yang mengambil sebotol sos tomato dari sebuah restoran di New Jersey, Amerika Syarikat menyerahkan dua botol sos yang baharu serta sepucuk surat sebagai tanda minta maaf.

Pencuri berkenaan meletakkan surat dan botol sos tersebut berhampiran pintu masuk Restoran Perkin di bandar Lacey pada malam Rabu dan disedari pengurus restoran yang mahu menutup premis berkenaan.

Dalam surat yang dikongsi di laman Facebook, pencuri mengakui mengambil botol sos tersebut ketika makan di restoran terbabit.

Si pencuri turut menyatakan dirinya ditimpa nasib malang termasuk terlibat dalam kemalangan hanya beberapa jam selepas mencuri sebotol sos tersebut.

Dengan mengembalikan dua botol sos tomato yang baharu, dia mengharapkan nasib buruknya akan berlalu.

“Sekali lagi saya meminta maaf sekiranya saya sudah menyusahkan anda sepertimana hidup telah menyusahkan saya,” kata si pencuri dalam surat itu.

Dalam pada itu, pengurus restoran berkata pihaknya memaafkan pencuri berkenaan dan memberitahu bahawa pekerjanya tidak menyedari kehilangan botol sos tersebut.- Agensi

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments