“Sedih dan memalukan” netizen kecewa insiden bertumbuk dalam masjid

RAKAMAN video memaparkan sekumpulan lelaki bertelagah dalam dialek Sabah disusuli aksi tumbuk-menumbuk di ruang solat sebuah masjid dipercayai di Sandakan, Sabah menjadi tular di media sosial sejak semalam.

Difahamkan kejadian berlaku ketika jemaah ingin menunaikan solat Jumaat.

Berdasarkan rakaman yang dibuat seorang jemaah, kejadian berlaku di Masjid Tinusa 2 Sandakan.

Menerusi perkongsian yang tular itu, pergaduhan dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati sekumpulan jemaah bertanyakan mengenai kewangan masjid yang didakwa tidak telus.

Video berdurasi tiga minit 13 saat bermula dengan seorang lelaki berbaju Melayu berwarna hijau bertekak dengan seorang jemaah lain sebelum menerpa dan menumbuk muka jemaah terbabit.

Bergaduh dalam masjid. Ketika solat jumaat siang tadi!Lokasi: Masjid Tinusa 2 Sandakan, SabahIsu: Dipercayai penduduk setempat tidak berpuas hati dan mendakwa pihak pengurusan masjid tidak telus berkaitan KEWANGAN masjid yang bermasalah.Masjid ditempat lain bagaimana? semuanya telus ke?Tapi dengar kata, orang sabah ni pantang mundur kecuali operasi, betul ke?

Posted by Hot Tv on Jumaat, 2 Ogos 2019

Kejadian menjadi kecoh apabila sekumpulan jemaah lain turut serta dan menolak lelaki berbaju Melayu hijau itu sebelum dileraikan beberapa jemaah.

Sekumpulan jemaah meminta lelaki terbabit keluar dari masjid bagi meredakan keadaan.

Seorang lelaki dipercayai pengerusi masjid tampil dan meminta jemaah bertenang serta menghormati masjid.

“Minta jemaah bertenang, hormati masjid. Perkara ini sudah disampaikan kepada pengarah (jabatan agama).”

Rakaman itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata kecewa dengan kejadian yang dianggap memalukan itu.

“Sedih…ini sangat memalukan. Rakan seagama bergaduh di rumah Allah hanya kerana wang,” kata Zul Mohd.

GI Hadri pula berkata: “Jangan dibuka aib sendiri dengan bertengkar begini. Islam mengajar kita bersatu, bukan berpecah..apatah lagi atas sebab wang dan pengaruh.”

Dalam pada itu, ada juga yang meminta pihak berkuasa menyiasat kejadian berkenaan supaya tidak mendatangkan kesan buruk.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments