Restoran jual menu daging anjing diserbu

KEGIATAN sebuah restoran di Kampung Baru berhampiran Broga, Nilai yang dipercayai menyediakan menu eksotik seperti anjing kepada pelanggannya akhirnya terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa kelmarin.

Aktiviti jijik pemilik restoran berkenaan terbongkar selepas beberapa jabatan termasuk polis membuat serbuan ekoran menerima maklumat daripada orang awam.

Dalam pemeriksaan 4.30 petang itu, polis menemui beberapa ketul daging dipercayai daging anjing dalam peti sejuk beku di bahagian dapur premis berkenaan.

Pemeriksaan mendapati pemilik restoran itu mempunyai lesen menjual makanan eksotik dan mendakwa daging itu diambil dari luar negeri itu dan hanya dijual kepada pelanggan membuat tempahan dipercayai bagi mengubati penyakit asma.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, polis menerima laporan mengenai penjualan daging anjing di restoran berkenaan lalu anggota ke lokasi menjalankan pemeriksaan.

“Kita sudah menjalankan siasatan dan menyerahkan kes kepada jabatan berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun ketika dihubungi berkata, restoran itu memiliki lesen menjual makanan eksotik tetapi daging anjing tidak termasuk dalam senarai dibenarkan.

Beliau berkata, siasatan lanjut akan dijalankan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments