Anggap khat seperti sapu tahi di muka, pemimpin DAP ‘dibelasah’ netizen

SELEPAS teruk dikritik, seorang pemimpin DAP yang menyamakan pelaksanaan pengenalan tulisan khat ibarat menyapu tahi lembu pada wajah sendiri akhirnya menyunting hantarannya di media sosial.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng terus mendapat kecaman warga maya meskipun telah menyunting hantaran itu.

Tidak lama selepas itu, beliau memadam sepenuhnya hantaran tersebut yang dimuat naik menerusi akaun Facebook miliknya selepas teruk ‘dibelasah’ netizen yang mengganggap hantaran itu agak melampau.

Pada awal hantarannya, Lip Eng berkata, ketika negara jiran sedang memperkenalkan bahasa program komputer kepada pelajar muda, justeru Malaysia tidak seharusnya menyapu tahi lembu di muka sendiri dengan memperkenalkan khat.

“Sedang Menteri Pendidikan di negara-negara jiran merancang memperkenalkan bahasa program komputer kepada pelajar-pelajar muda, jangan kita menyapu tahi lembu di wajah kita dengan memperkenalkan khat. Tolonglah,” katanya.

Beliau mengulas ketegasan Kementerian Pendidikan untuk meneruskan pelaksanaan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun 2020.

Sebelum ini, 138 pemimpin akar umbi DAP, termasuk 13 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) mendesak pemimpin parti itu yang ada dalam kerajaan supaya membantah pengenalan tulisan “khat” atau seni kaligrafi dalam kurikulum Tahun 5 Bahasa Malaysia di sekolah.

Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan tersebut menarik perhatian bahawa pelajar sekolah vernakular sudah mempelajari “tiga bahasa dan tiga sistem penulisan” dan ia sudah mencukupi.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan Khamis lalu menjelaskan pengenalan tulisan khat adalah untuk memupuk gaya penulisan yang indah.

Difahamkan, ia adalah dasar yang mahu diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu dan perancangan dimulakan sejak 2016.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments