Vokalis rock ditahan miliki dadah methamphetamine

SEORANG vokalis kumpulan rock yang popular era 1990-an ditahan polis kerana memiliki dadah disyaki methamphetamine di sebuah kabin bersebelahan tempat cuci kenderaan di Taman Tenaga, Cheras, Kuala Lumpur, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, selebriti berusia 43 tahun itu ditahan pada 9.30 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Pemeriksaan lanjut menemui satu paket plastik lutsinar disyaki methamphetamine seberat 0.6 gram bernilai RM100 dalam kabin itu, lapor Harian Metro.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif methamphetamine, amphetamin dan dadah jenis ganja (THC).

“Suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kumpulan rock terbabit ditubuhkan pada 1994 dengan dianggotai empat orang termasuk suspek dan merakam album pertama mereka pada 1996.

Kali terakhir kumpulan itu tampil dengan produk seni mereka adalah pada 2011.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments